Ebit Lew kembali, akhirnya doa rakyat Malaysia termakbul

Ebit Lew kembali, akhirnya doa rakyat Malaysia termakbul

Rakyat Malaysia seolah-olah umpama kucing kehilangan ibunya apabila idola kerja kebajikan mereka telah hilang dari radar negara ini.

Insan yang dimaksudkan tidak lain tidak bukan ialah Ebit Lew. Memang diakui Ebit agak lama menyepikan diri dari dunia kebajikan negara kebelakangan ini.

Malah, menjenguk ke akaun media sosialnya, dia sekarang dilihat memberikan lebih masa kepada keluarganya, dengan membawa mereka bercuti ke tempat menarik serata dunia.

Antara yang menjadi perkongsiannya satu ketika dahulu ialah percutiannya di Switzerland, Paris, Iceland dan terbaru di Venice, Italy.

Meskipun dilihat gembira bercuti bersama-sama ahli keluarga, namun dia masih aktif menggerakkan misi bantuan kebajikan terutama kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh Malaysia baru-baru ini.

Namun kerinduan rakyat terhadapnya akhirnya berakhir dengan perkongsian terbarunya hari ini.

Ebit dilihat menyantuni seorang wanita pekerja penghantar FoodPanda yang terpaksa membawa sekali ‘anak istimewanya’ bersama-sama ketika berkerja. Ianya berpunca daripada kerisauan wanita itu terhadap penjaga anaknya sebelum ini.

Dalam hantarannya, Ebit berkongsikan kisah tabah wanita itu di dalam FBnya.

“Menangis je kakak ni. Kuat dan tabah mencari rezeki buat diri dan anaknya yang oku cacat penglihatan. Pergi kemana-mana ambil order dan hantar dengan anak kecilnya. Katanya dah lama ingin minta jumpa saya ingin minta nasihat dan doa. Kakak ni sentiasa bawa anaknya untuk kerja hantar makanan. Kakak ni mohon rumah ppr belum rezeki katanya. Motor pun masih berhutang.

Syukur pada Allah. Kami dapat carikan rumah buat akak ni. Tak perlu bayar kerana kami akan bayarkan. Belikan baju raya dan belikan barang keperluan rumah peti ais mesin basuh dan rice cooker. Begitu juga dapat hadiahkan almari dan tilam. Menangis syukur Allah beri rezeki begini padanya.

Anaknya aktif dan manja dengan maknya. Rapat berdua. Jadi kakak ni tak boleh tinggal anaknya. Kena bawa bekerja kesana sini. Semoga Allah bantu kakak ini.”

Menjenguk ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial gembira dengan kepulangannya ke tanah air. Malah mereka mengharapkan agar Ebit terus tabah dalam melaksanakan misi kebajikan walaupun terpaksa berdepan dengan ujian.