Ejen nikah di Siam mulai sibuk uruskan tempahan kahwin
Pengumuman kerajaan Thailand yang akan membuka pintu sempadan dengan Malaysia bermula bulan depan bukan sahaja menggembirakan ejen-ejen nikah Siam, malah pasangan kekasih yang kemaruk ingin bernikah secara ‘senyap’ di negara jiran itu.
Menurut Kosmo Online, ejen-ejen nikah Siam di negara ini kini mula sibuk menerima panggilan daripada ramai pasangan kekasih terutama mereka yang ingin berpoligami tanpa pengetahuan isteri pertama.
Ramai pasangan dikatakan telah menempah slot pernikahan dan sudah tidak sabar-sabar untuk menunggu giliran bernikah di Thailand sebaik pintu sempadan negara mula dibenarkan dibuka.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary mengharapkan pasangan yang merancang berkahwin bernikah mengikut undang-undang Malaysia, tanpa menggunakan khidmat sindiket nikah haram.
“Kebenaran membuka sempadan negara kelak perlu digunakan sebaik-baiknya, bukan menyumbang kepada jumlah kes perkahwinan menggunakan sindiket haram yang sememangnya ditegah kerajaan.
“Perkahwinan sesuatu yang baik. Gunalah saluran sebetulnya untuk membina masjid, yang tidak mendatangkan masalah kepada semua pihak.
“Kita juga bertanggungjawab untuk tidak menyokong khidmat sindiket nikah yang dijangka aktif sebaik sempadan dibuka,” katanya di sini, hari ini.