Eksklusif!!! Hanya kerana pertahankan nama baik ayahnya, Nazir dimaki Najib

Eksklusif!!! Hanya kerana pertahankan nama baik ayahnya, Nazir dimaki Najib

Nama Nazir Razak menjadi popular gara-gara peluncuran memoirnya ‘What’s in a Name’ setebal 358 muka surat pada 8 November lepas.

Antara kandungan yang mendapat perhatian ramai pembaca khususnya media massa sudah tentulah penglibatan Nazir dalam menguruskan kewangan Najib, abangnya selaku Perdana Menteri ke-6 ketika itu melibatkan skandal kewangan terbesar tanahair, 1MDB.

Nazir secara terbuka mendedahkan pengalamannya diserang, dilontarkan fitnah dan tohmahan yang Najib mengakui berkemungkinan datang dari kem bekas Presiden UMNO itu sendiri.

Malah lebih mengejutkan apabila isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor telah secara terbuka memberi amaran kepada beliau untuk berhenti mempersoalkan tindakan suaminya itu. Ianya sekaligus membenarkan tanggapan ramai betapa kuasa Rosmah didakwa melangkaui kuasa yang dimiliki oleh Najib sendiri.

Antara lainnya. Nazir turut menceritakan bibit-bibit permulaan serangan terhadapnya selepas dia bersama rakannya, Tong Kooi Ong dari The Edge Group melakukan siasatan ke atas operasi 1MDB, berjumpa dengan orang-orang berpengaruh termasuk Majlis Raja-raja, tokoh korporat, malah dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri selepas sangsi dengan operasi Terengganu Investment Authority dan 1MDB.

Terbaru, Nazir menceritakan bagaimana kesan yang diterimanya selepas berpakat bersama 3 lagi abangnya yang lain demi membersihkan legasi nama ayahnya selepas Najib mengaku wang yang dibelanjakan secara boros olehnya didakwa diperolehi daripada legasi peninggalan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Tambah bekas Pengerusi Kumpulan CIMB itu lagi, kenyataan tersebut bukan sahaja seolah- olah menafikan etika dan integriti ayahnya, malah cuba membayangkan Abdul Razak mempunyai pendapatan sampingan.

“Saya terus menghubungi tiga abang saya – Nazim, Johari dan Nizam. Ia tidak mengambil masa yang lama untuk kami bersama-sama membuat kenyataan terbuka dan saya terus menghantar kenyataan itu kepada rakan media dan pengulas yang saya kenal melalui Whatsapp.

“Kami sangat prihatin dengan reputasi ayahanda kami dan kami jelaskan Tun Abdul Razak tidak pernah mewariskan ‘aset legasi’ (seperti yang dinyatakan PMO). Kami rumuskan, kami tidak boleh terima pihak yang cuba mencemarkan memori ayahanda kami, walau apa jua motif,” terang Nazir dalam tulisan itu seperti dilaporkan Astro Awani.

Sejurus kenyataan empat beradik itu disiarkan, Nazir berkata, beliau menerima panggilan dari nombor yang tidak dikenali.
Namun Nizam, Nazim dan Johari lebih bijak kerana kata Nazir: “Mereka telah menutup telefon lebih awal lagi.”

“Saya menjawab panggilan itu dan serta-merta mendengar kemarahan serta hamunan daripada Najib yang berkata: “Mengapa kamu semua tergamak memalukan saya di khalayak ramai!”

Nazir berkata, bagi Najib, kesetiaan individu paling penting, manakala kesetiaan kaum ialah menolak perkara lain demi kepentingan ketua mereka.

Namun bagi Nazir, apa yang mereka cuba lakukan adalah demi melindungi legasi dan nama baik keluarga mereka dan tidak akan sesekali membiarkan mana-mana pihak cuba mencemar nama ayahanda dan negarawan, Abdul Razak.

“Susulan itu, PMO telah menghalang kenyataan kami daripada diterbitkan oleh mana-mana media arus perdana untuk beberapa hari. Bagaimanapun, media asing dan blog-blog tidak terikat dan tidak mempedulikan larangan itu.

“Ia agak mengecewakan bahawa seorang anak akan menapis kenyataan adik-beradiknya yang sebenarnya memuji integriti ayahnanda mereka.

“Malah sewaktu kenyataan itu diterbitkan, terdapat juga frasa bagaimana Najib memuji Abdul Razak. Saya sangka, orang yang membacanya akan terkeliru,” katanya.

Episod itu, kata Nazir lagi, membuatkan beliau lebih mempercayai kerisauannya terhadap 1MDB adalah berasas – kombinasi kewangan dan politik, kombinasi golongan profesional dan perseorangan.

“1MDB telah melanggar norma kewangan yang telah dibangunkan sekian lama di negara ini, termasuk apa yang dilakukan CIMB.
“Dana itu sepatutnya merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tetapi ia telah dikecualikan dari peraturan ketat yang kami bangunkan dan boleh mencemarkan imej GLC secara keseluruhan.

“Saya risau dan syak abang saya, Najib, telah dikawal oleh penasihat dan rakan kongsi yang tidak bertanggungjawab dan akhirnya mencemarkan nama baik ayahanda saya,” katanya lagi.