Elak hadir siasatan, Wadi Annuar kecewa kenyataan JAIPs cuba memalukannya
Pendakwah terkenal, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub menegaskan kenyataan dibuat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) menggambarkan pihaknya cuba mengelak dari hadir proses siasatan.
Menurutnya, kedua-dua pihak sudah sedia maklum persetujuan perubahan tarikh sudah dicapai dan dipersetujui atas alasan yang dikemukakan.
“Tidak timbul isu pihak kami mengelak dari hadir proses siasatan.
“Pihak kami secara rasmi membuat permohonan untuk pertukaran tarikh disebabkan kekangan yang dinyatakan di dalam surat bernombor rujukan SMP/Misc/401/23/UWA bertarikh 17 April 2023 melalui firma guaman lantikan kami, Srihana Mohamad & Partners,” katanya dalam kenyataan yang dipetik Harian Metro.
Menurutnya, pihak JAIPs sendiri sedia maklum, tindak balas dan bekerjasama memberikan tarikh baharu untuk pihaknya hadir melalui surat bernombor rujukan JAIPs. PGK 1 (71) bertarikh 18 April 2023.
“Permohonan pertukaran tarikh ialah prosedur yang diperbolehkan oleh undang-undang bagi mencapai maksud keadilan yang saksama kepada semua pihak.
“Pihak kami kesal dengan pelaporan yang cuba bermain dengan sentimen tidak benar, mengundang persepsi buruk dan tidak tepat untuk menjalankan proses perbicaraan menerusi media.
“Lebih dikesalkan apabila pelaporan/ dibuat berdasarkan halaman Facebook berusia 24 jam, yang menggunakan nama JAIPs dengan kenyataan media yang dibuat seperti menyerupai kenyataan media JAIPs tetapi mempunyai perbezaan format yang ketara.
“Pihak kami ingin menggesa pihak JAIPs supaya membuat penjelasan sama ada ‘page’ itu adalah kendalian mereka atau sebuah ‘page’ palsu yang dibuat untuk mencemarkan nama baik pihak mereka dengan menangguk di air keruh dalam isu ini,” katanya.
Menurutnya, berita yang disiarkan berdasarkan kenyataan dalam ‘page’ itu seolah-olah ingin membuat spekulasi tidak baik ke atas perkara yang dipersetujui awal oleh kedua-dua pihak.
Sebelum ini, pendakwah itu beberapa kali diminta untuk hadir ke pejabat JAIPs untuk diambil keterangan mengenai program pada akhir bulan lalu yang berlangsung tanpa tauliah.
JAIPs turut membuat laporan polis selepas penguat kuasanya dihalang penganjur daripada bertemu Wadi Annuar untuk mendapatkan keterangan.
Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebelum ini turut menegur pendakwah itu yang didakwa seperti mempersendakan peraturan serta titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengenai keperluan untuk mendapatkan tauliah terlebih dulu sebelum mengajar agama di negeri itu atau terbabit program keagamaan.