Elak luah masalah di media sosial, pakar motivasi ini nasihat Syamsul dan Sarah cari pihak pendamai

Luahan perasaan dan hal rumah tangga di media sosial bukan lagi asing dalam kalangan masyarakat hari ini termasuk golongan selebriti.
Perkara bukan saja menimbulkan pelbagai reaksi negatif masyarakat malah dianggap membuka aib pihak berkaitan.
Pendakwah, Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek berkata, agama Islam memerintahkan umatnya untuk saling menjaga aib dalam apa juga cara.
“Di dalam Islam kita diminta untuk menutup aib seseorang apatah lagi orang itu adalah seseorang yang kita sayang atau pernah disayangi. Menutup aib orang, Allah akan tutup aib kita di akhirat nanti. Aib adalah kekurangan atau kelemahan. Tidak kira jika dia suami, bekas suami, isteri, bekas isteri ataupun sesiapa saja kita dituntut untuk menutup aibnya. Jadi, menceritakan aib disebabkan menegakkan kebenaran dan kita adalah mangsa sangat tidak sesuai diceritakan di media sosial pula.
“Sebaiknya diceritakan kepada individu yang jujur dalam menyelesaikan masalah rumah tangga dan sebaiknya mahkamah. Sebelum ke mahkamah kita akan lalui Majlis Uluq. Di pejabat agama, mereka ada tempat untuk Muslim yang berpasangan. Itulah tempat sebaiknya untuk mencurahkan perasaan dan tempat menyelesaikan masalah. Jangan ingat pergi jabatan agama terus jatuh talak. Sebaliknya, Majlis Uluq adalah tempat untuk menyelesaikan masalah. Kalau tidak pun mereka akan dapat ketenangan,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata, Islam juga mengajar agar sesuatu masalah yang besar perlu kecilkan dan diselesaikan cara baik.
“Kaedah penyelesaian masalah di media sosial ‘saya mangsa dan saya perlukan pembelaan’ hanya akan menimbulkan tanda tanya dan rasa curiga. Ia boleh diumpamakan seperti menumpahkan lagi minyak pada api yang sedang marak. Jadi, masalah yang patut boleh selesai akhirnya menjadi perkara yang tidak berakhir atau lebih besar,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan hadis itu, dia merayu pada diri sendiri dan kepada semua yang ingin meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial, agar pujuk hati supaya tidak memberi syaitan menang dalam hal ini.
“Syaitan akan dinaikkan darjat dan diberi penghormatan apabila berjaya menyebabkan sesebuah rumah tangga itu runtuh. Tolong jangan jadi ejen yang membantu syaitan. Biarlah mereka yang mempunyai masalah diselesaikan secara baik.
“Bagi seorang wanita, mana hendak dimadukan. Madu yang manis akan rasa pahit. Tapi kena ingat itu adalah ujian daripada Allah. Pada saya, jenayah yang paling besar bagi seorang isteri di akhir zaman ini adalah bila suaminya berpoligami. Ia dibenarkan oleh Allah tapi ujian yang paling berat bagi seorang isteri,” katanya.