Ella umum konsert sempena 35 tahun sebagai penyanyi, tiada istilah bersara

Ella umum konsert sempena 35 tahun sebagai penyanyi, tiada istilah bersara

Berkongsi lanjut mengenai konsert tersebut, penyanyi lagu Standing In The Eyes of the World itu memberitahu ia diadakan sebagai penghargaan buat peminat yang sentiasa memberi sokongan kepadanya sebelum ini.

Kata Ella, konsert itu juga bukan bererti dia akan meninggalkan bidang seni sebaliknya ia permulaan baharu dalam penggembaraannya sebagai penyanyi.

“Konsert ini saya dedikasikan buat semua peminat yang setia menyokong perjalanan seni saya selama ini. Tiada kata penghargaan yang dapat tandingi sekongan kalian semua.

“Sekalipun ini merupakan jilid akhir konsert solo saya dalam skala besar sepanjang 35 tahun ini, namun saya percaya ia hanyalah permulaan baharu bagi penggembaraan kerjaya saya,” katanya.

Dalam pada itu, Ella menjelaskan bahawa ini bukan konsert terakhir darinya namun nama konsert tersebut adalah bersempena nama buku yang ditulis sendiri sepanjang 35 tahun sebagai anak seni.

“Ini bukan persembahan terakhir saya. Namanya jilid terakhir sebab itu tajuk buku yang saya terbitkan,” jelasnya.

Sementara itu, Ella bakal menyanyikan 35 lagu di konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota yang akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Sebelum ini, tindakan Ella memadam gambar di Instagram mencetuskan kekecohan apabila penyanyi berkenaan seakan memberi bayangan bakal meninggalkan dunia seni.