Enggan berdebat buktikan Sulaiman bukan calon sebenar Ketua Menteri UMNO
Tembelang UMNO menamakan Sulaiman sebagai calon Ketua Menteri BN terbongkar selepas dia menolak cadangan debat antara calon-calon Ketua Menteri seperti dicadangkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Sulaiman dinamakan BN sebagai calon ketua menteri jika gabungan itu memenangi PRN Melaka, memberitahu dia lebih berminat untuk memberi tumpuan kepada kempen PRN, yang hanya berbaki tujuh hari.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa berkata kerajaan bersedia menimbang untuk memberi ruang kepada calon PRN Melaka termasuk dari pembangkang untuk berkempen menerusi saluran televisyen dan radio rasmi kerajaan.
Menurut Annuar, kerajaan memahami kesulitan dialami semua parti politik terutama calon baru untuk berkempen dalam suasana norma baru.
Semalam penganalisa politik terkenal, Mohammad Agus Yusoff membidas keengganan Sulaiman menyahut cabaran debat tersebut.
Sambil menyifatkan BN ketandusan pemimpin yang berani dan mempunyai idea untuk berhadapan dengan rakyat, dia turut berkata rakyat memang amat memerlukan ahli politik yang berwawasan serta bertaraf dunia.
Mohammad Agus berkata di negara yang mengamalkan demokrasi matang, debat calon presiden atau perdana menteri adalah perkara biasa, seperti dipetik dari portal akhbar Malaysiakini
Katanya ia dijalankan bagi membolehkan calon menunjukkan pengetahuan dan keupayaan inteleknya bagi memimpin negara dan dapat diadili orang ramai.
“Tetapi di Malaysia, setiap kali debat dicadangkan, akan ada sahaja calonnya yang menolak. Akan ada sahaja yang mengatakan debat bukan budaya politik kita.
“Hari ini calon ketua menteri dari BN menolak cadangan pengerusi PH agar debat dadakan. Alasannya kerana mahu tumpukan masa pada kempen pilihan raya.
“Kenapa tolak bila diajak berdebat sedangkan debat ini juga adalah untuk berkempen? Apakah takut atau tidak mampu?
“Sepatutnya, jika ada wawasan, idea, prinsip, fakta, kebijaksanaan, falsafah dan nilai perjuangan yang baik, terima sahaja pelawaan debat ini,” katanya.