Enggan dikaitkan dengan jandanya, Fizo serah kebebasan kepada Mawar pilih bakal suami
“Saya tak tahu apa-apa pun tentang kes Mawar dengan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.”
Itu respons ringkas pelakon dan usahawan, Fizo Omar berhubung khabar angin mendakwa bekas isterinya, Mawar Karim kini sedang menjalin hubungan dengan seorang menteri.
Menurut Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 36, dia hanya mengetahui mengenai gosip tersebut semalam.
“Saya tak tahu apa-apa pun tentang mereka dan baru dengar mengenai kes itu semalam,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Hasil tinjauan Kosmo Online!, Mawar atau nama sebenarnya Mawar Abdul Karim, 32, juga dilihat menafikan gosip tersebut kepada salah seorang pengikutnya dalam ruangan komen Instagram.
“Letih hendak baca, lebih baik cari nasi kandar.
“Macam-macam cerita keluar. Saya di Kuala Lumpur sahaja. Lepas ini dengan siapa pula nak muncul (digosipkan),” balasnya kepada seorang pengguna Instagram yang mempersoalkan kesahihan gosip tersebut dalam ruangan komen.
Sehingga kini, usaha Kosmo! Online bagi mendapatkan sebarang komen daripada pemilik jenama tudung Fareeda itu masih belum berhasil selepas dia tidak membalas mesej.
Sejak Rabu lalu, tular maklumat dalam aplikasi WhatsApp berhubung Mohd Khairuddin ditahan dalam satu sekatan jalan raya (SJR) Perasing, di Kemaman, Terengganu pada 16 Mei lalu.
Dalam mesej tular tersebut, ketika ditahan, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu didakwa berada dalam kenderaan bersama seorang wanita.
Terdahulu Mawar dan Fizo telah mendirikan rumah tangga pada November 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Wan Maryam yang kini berusia empat tahun.
Bagaimanapun pasangan itu telah bercerai pada Julai 2019. – Kosmo