Enggan turun berat badan bukan punca hubungan Zarina, tunang bermasalah

Enggan turun berat badan bukan punca hubungan Zarina, tunang bermasalah

Wargamaya dikejutkan dengan berita perpisahan pasangan yang dilapor sedang menghitung hari-hari indah ke pelaminan.

Pasangan tersebut, pelakon Zarina Anjoulie dan tunangnya Datuk Seri Khazrul Elzey dilaporkan hampir pasti tidak akan disatukan sebagai pasangan suami isteri selepas memberi bayangan ikatan pertunangan mereka sudah terlerai di tengah jalan.

Menerusi satu perkongsian di aplikasi TikTok, Elzey dilihat reda dengan perancangan Allah SWT dan mengaku bahawa masih terdapat kekurangan dalam diri masing-masing.

Putus tunang

“Kita mampu merancang Allah yang menentukan. Papa (panggilan dirinya) tak sebaik mana yang mama (panggilan Zarina) impikan. Kita berdua masih ada kekurangan,” tulisnya baru-baru ini.

Pada masa sama, Elzey berharap mereka berdua dapat menjalin hubungan baik sebagai rakan selain mendoakan agar pelakon berusia 36 tahun itu menemui pengganti yang lebih baik.

“Semoga kita akan terus menjadi sahabat. Papa doakan mama dapat orang yang lebih baik. Terima kasih atas cinta mama pada papa…
“…hanya Allah dapat membalas di akhirat kelak. I love you mama hereafter,” tulisnya lagi.

Walau bagaimanapun, menerusi perhatian, posting tersebut tidak lagi kelihatan di akaun TikTok miliknya dipercayai sudah dipadam tidak lama selepas dimuat naik.

Terdahulu, tindakan Zarina atau lebih mesra disapa dengan panggilan Anju memadam gambar dan video bersama tunangnya itu menimbulkan persoalan dalam kalangan netizen.

Lebih mengundang spekulasi apabila dia memuat naik satu video di laman Instagram dengan kapsyen seolah-olah cuba untuk bertahan meskipun berlaku kekecewaan.

‘Broken’ tapi masih bertahan

Sementara itu, sumber terdekat menafikan keengganan Zarina menurunkan berat badannya kepada 55 kilogram menjadi punca keretakan hubungan mereka.

Zarina menjadi perhatian apabila berseloroh mengatakan tunangnya tidak akan mengahwininya selagi tidak mencapai berat badan 55 kilogram.

Sebelum ini, pemilik nama Zarina Anjoulie Lavocah Mohd. Fahizul itu berkongsi pelbagai posting gembira memaparkan momen ketika membeli cincin sehingga melangsungkan majlis pertunangan secara ringkas pada 21 Januari lalu.