Erra Fazira kesal dituduh punca perceraian Engku Emran dengan Noor Nabila
PELAKON Erra Fazira kesal apabila ada pihak menuduhnya sebagai punca perceraian bekas suami, Engku Emran dengan usahawan, Noor Nabila, sekali gus mengundang fitnah.
Katanya, dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung sikap mahu pun hal rumah tangga pasangan terbabit seperti dipaparkan pihak yang sengaja mencetuskan sensasi itu.
Jangan macam ini. Nak sensasi pun, jangan buat fitnah! Saya tidak pernah memberi sebarang komen sebegini!
“Saya hormati privasi ayah kepada anak saya dan pasangan,” katanya yang meluahkan rasa terkilan itu dalam Instagram Story, hari ini.
Pada perkongsian sama, aktres berusia 49 tahun itu turut mengingatkan orang ramai supaya jangan mudah menghukum pasangan yang bercerai.
“Jangan persendakan perjalanan hidup seseorang bila mana kita sendiri tidak tahu nasib dan perjalanan kelak,” katanya.
Terdahulu, menerusi perkongsian sebuah akaun Facebook, pengendalinya sengaja meletakkan ‘clickbait’ atau umpan kononnya primadona filem Melayu itu mendedahkan sikap sebenarnya Engku Emran.
“Masalah itu tidak dapat dibendung lagi”… baru sahaja Engku Emran cerai, Erra dedah ini sebenarnya berlaku sebelum itu,” demikian tulisan yang berunsur fitnah itu.
Noor Nabila dan Engku Emran sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, pukul 12.51 tengah hari, semalam.
Kemelut rumah tangga pasangan yang mendirikan mendirikan rumah tangga pada 19 Mac tahun lalu itu mula diperkatakan selepas mereka tidak lagi kelihatan bersama kebelakangan ini.
Sebelum berkahwin dengan kakak kepada usahawan selebriti Neelofa, Engku Emran menikahi Erra pada
25 Oktober 2007, namun tidak bertahan lama apabila mereka bercerai pada 18 Februari 2014.
Mereka mempunyai seorang anak perempuan, Engku Aleesya yang kini berumur 14 tahun.
Lelaki berusia 48 tahun itu juga pernah bergelar suami kepada pelakon popular Indonesia, Laudya Cynthia Bella, tetapi mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
Sementara itu, Nabila sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan aktor Sharnaaz Ahmad pada 31 Mac 2017 tetapi bercerai pada 9 Julai 2020.
Hasil perkahwinan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden.