Exco kerajaan negeri selar sikap pengotor rakyat Kelantan

Exco kerajaan negeri selar sikap pengotor rakyat Kelantan

Rakyat Kelantan digesa membuang sampah ke dalam tong-tong yang disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing mengikut tempoh masa ‘tepat’ iaitu bermula pukul 5 petang hingga 10 pagi keesokan hari.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, amalan membuang sampah mengikut jadual penting bagi mengelak berlaku longgokan sampah.

Tambahnya lagi seperti yang dilaporkan Utusan Online, longgokan sampah tersebut bukan sekadar mengotorkan alam sekitar dan ‘menyakitkan’ mata memandang, malah menyukarkan para pekerja pembersihan melakukan tugas mereka dengan lancar.

“Kalau boleh buanglah sampah ikut masa dan jangan melebihi pukul 10 pagi. Jika hendak buang juga (selepas pukul 10 pagi), tunggulah giliran seterusnya iaitu pada pukul 5 petang ke atas pula.

“Jika buang ikut masa ditetapkan, kita akan lihat tong-tong sampah sentiasa kosong dan bersih,” katanya selepas menghadiri Majlis Apresiasi Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) serta Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Parlimen Pengkalan Chepa 2022.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang mengulas aduan orang ramai mengenai sampah-sarap yang sering berlonggok sehingga melimpah-ruah dari tong-tong yang disediakan PBT.

Tidak tahan dengan bau busuk di tempat pembuangan itu, ada penduduk dilaporkan bertindak membakar sampah berkenaan bersama tongnya sekali.

Mengulas lanjut perkara itu, Dr. Izani berkata, masyarakat dinasihatkan supaya tidak merosakkan harta kerajaan atau melakukan vandalisme dengan membakar tong-tong sampah tersebut.