Farhash Wafa Salvador dilantik pengerusi eksekutif syarikat fintech

Farhash Wafa Salvador dilantik pengerusi eksekutif syarikat fintech

 

Bekas setiausaha politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador diumum sebagai pengerusi eksekutif syarikat teknologi kewangan (fintech), Excel Force MSC Berhad, berkuat kuasa semalam.

Syarikat itu mengumumkan pelantikan Farhash menerusi makluman kepada Bursa Malaysia yang mana ia turut disusuli dengan pengumuman peletakan jawatan Muhammad Rais Abdul Karim sebagai pengerusi bebas bukan eksekutif.

Berdasarkan Laporan Tahunan Kewangan syarikat itu, setakat 31 Mac 2022, majoriti saham Excel Force dipegang oleh Wong Thean Soon yang juga pengarah urusan Myeg Services, sebuah lagi syarikat yang senarai awam di Bursa Malaysia.

Sebelum ini pada 3 Januari, Farhash yang juga bekas pengerusi PKR Perak, dilantik sebagai pengerusi bukan eksekutif bukan bebas 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd, menggantikan Robin Tan Yeong Ching yang juga anak kepada tokoh usahawan Vincent Tan.

Lantikan itu juga diumumkan seminggu selepas beliau dilantik sebagai pengerusi eksekutif kumpulan Apex Equity Holdings Berhad, menggantikan Ahmad Redza Abdullah yang meletakkan jawatan pada September 2022.

Berdasarkan makluman syarikat itu kepada Bursa, Farhash memiliki pengalaman lebih sedekad dalam bidang perniagaan, perundingan dan nasihat.

“Farhash juga ialah dan pernah menjadi pengarah dan/atau pemegang saham dalam sekurang-kurangnya 10 syarikat swasta termasuk Swag Technologies Sdn Bhd, Salvador & Sons Sdn Bhd dan Pacific Samudera Sdn Bhd.”

Dalam makluman berasingan, Excel Force memaklumkan Rais meletakkan jawatan “untuk mengejar minat sendiri”.