Farid Kamil dedah pernah tolak rasuah RM5 juta, sama seperti Anwar Ibrahim

Farid Kamil dedah pernah tolak rasuah RM5 juta, sama seperti Anwar Ibrahim

 

Pelakon Farid Kamil meluahkan rasa syukur apabila proses penggambaran filem lakonan terbaharunya berjudul Anwar The Untold Story berjalan lancar tanpa sebarang halangan.

Bagaimanapun, Farid yang melakonkan watak Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam filem tersebut mengakui dirinya amat berhati-hati memandangkan figura itu begitu dikenali ramai.

“Saya buat perkara ini secara ikhlas dan diam sehingga ada satu gambar tular yang dikeluarkan oleh salah seorang pelakon dalam filem ini yang menunjukkan saya berlakon sebagai Anwar.

“Daripada saat itu, saya sangat berhati-hati. Kerana watak ini sangat besar dan bukan rekaan semata-mata. Kerana ramai yang tahu apa yang terjadi pada beliau.

“Namun saya bersyukur kerana sepanjang penggambaran tiada sebarang gangguan atau halangan yang dihadapi.

“Malah kebebasan untuk menzahirkan watak Anwar itu lebih jelas tanpa sebarang masalah. Sebarang ugutan pun saya tidak terima, syukur alhamdulillah,” katanya kepada Gempak.

Farid berkata demikian ketika ditemui pada sesi sidang media filem berkenaan yang berlangsung di ibu kota, pada Selasa.

Ditanya apakah kriteria yang ada pada dirinya sehingga dipilih sebagai pemeran watak Anwar, suami kepada aktres Diana Danielle itu berkata dia pernah menolak rasuah sama seperti yang pernah dilakukan oleh Perdana Menteri ke-10 itu.

“Saya pernah menolak rasuah, sama seperti Anwar Ibrahim pernah buat suatu ketika dahulu.

“Sebenarnya satu perkara yang perlu tahu, dalam proses pemilihan pelakon untuk membawa watak Anwar dalam filem ini, kriteria pertama dia mesti seorang pelakon yang menolak rasuah.

“Dan saya pernah menolak rasuah RM5 juta ringgit, untuk rekod perkara itu berlaku pada 2017,” katanya lagi.

Terdahulu, sekitar tahun 2017 Farid pernah memberi keterangan berhubung laporan polis mengaitkannya dengan dakwaan pernah disogok wang RM5 juta oleh kerajaan terdahulu, di Kompleks Mahkamah di Petaling Jaya.

Selain Farid, Anwar The Untold Story turut dibintangi Acha Septriasa , Hasnol Rahmat dan ramai lagi.

Filem arahan Viva Westi itu bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula Mei depan.