Fasha Sandha sedia jika adegan ranjang jadi kegemaran penonton

Fasha Sandha sedia jika adegan ranjang jadi kegemaran penonton

 

Sering mengundang perhatian warga maya dengan aksi kontroversi, kali ini juga Fasha Sandha sedia sekiranya penonton cenderung menilai dirinya hanya dari sudut negatif selepas terbabit dalam adegan ranjang di platform iQIYI.

Kata isteri Aidil Aziz itu, sebagai pelakon dia hanya memenuhi kehendak skrip yang diamanahkan oleh pengarah kepadanya, justeru, penonton juga bebas membuat penilaian yang mereka mahukan.

Bagi Fasha, setiap naskhah disampaikan pasti bertujuan menghantar mesej positif, namun dia tidak dapat menghalang sekiranya adegan terbabit yang disiarkan dalam Rampas Cintaku 2 menjadi “kegemaran” penonton.

“Setiap naskhah diberi kepada sesiapa pun pasti ada pengajaran, moral dan mesej yang nak disampaikan. Kalau pandang sisi Fasha daring saya takkan defensif sebab ini kerjaya saya.

“Saya sebagai pelakon hanya galas tugas nak disampaikan. Sudah tentu akan ada penonton boleh terima secara positif mahupun fikir negatif.

“Jangan pandang satu sisi (keburukan) saja. Tapi kalau babak itu (adegan ranjang) yang jadi kegemaran, kita tak boleh halang sedangkan ada sisi lain lebih menarik dalam cerita ini,” katanya.

Pun begitu, Fasha, 39, berkata sekiranya adegan ranjang terbabit menjadi tular, hal itu secara tidak langsung membantu meningkatkan rating Rampas Cintaku 2 itu.

“Kalau babak itu tular, saya anggap ia satu promosi percuma. Yang penting, saya nak drama ini hit dan cetuskan fenomena sekali lagi,” katanya.

Fasha berkata demikian pada sidang media drama berkenaan yang diadakan di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Teruja dengan Erra Fazira

Drama arahan Ejump Mohd itu memaparkan adegan Fasha melakonkan aksi intim di atas katil bersama Afieq Shazwan yang menjadi suami muda dalam nashkah itu.

Selain Fasha dan Afieq, drama itu turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Zamarul Hisham, Erra Fazira, Keith Foo, Puteri Balqis dan ramai lagi.

Rampas Cintaku 2 akan mula disiarkan di platform penstriman iQIYI Malaysia bermula 19 Jan ini.

Untuk rekod, musim pertama drama tersebut berjaya meledak hingga 100,000,000 juta penonton di platform berkenaan.

Berkongsi lanjut, Fasha berkata, dia teruja kerana antara impiannya selama ini ialah berlakon bersama Erra Fazira dan ia akhirnya tercapai.

Menurutnya lagi, dia juga begitu teruja apabila menjalani penggambaran buat kali pertama dengan pelakon digelar primadona filem tempatan itu.

“Saya gementar apabila dapat tahu kak Erra akan berlakon bersama. Dia adalah ratu primadona yang saya pandang sangat tinggi. Dia juga seorang yang baik.

“Dua, tiga jam sebelum ke set dah gementar, malam sebelum itu juga tak boleh tidur lena sebab tahu esok nak jumpa kak Erra. apabila berjumpa lidah jadi terkelu,” katanya.