‘Fashion Show Janda Temerloh’ dibatalkan saat akhir
PENGANJUR Pertandingan Pakaian Beragam Janda-Janda Temerloh yang dijadualkan pada 21 April ini membatalkan program berkenaan pada saat akhir selepas ia tular dalam media sosial.
Penganjur dikenali Mama Zana berkata, program itu dibatalkan pada saat akhir bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini selepas mendapat ‘sambutan luar biasa’ dari seluruh negara.
Menurutnya pada masa ini dia tidak putus menerima panggilan telefon dari pelbagai pihak yang bertanyakan mengenai program itu.
“Saya menerima panggilan daripada pelbagai pihak di seluruh negara yang bertanyakan perkara ini dan ada yang mahukan pegesahan kerana mereka mahu bersedia seperti untuk menempah homestay.
“Jadi saya memang tidak mampu mengendalikan program ini sekiranya terlalu banyak penyertaan dan kehadiran terlalu ramai orang,” katanya kepada KOSMO.
Dalam pada itu Mama Zana berkata, pihaknya tidak pernah mempromosikan program itu di media sosial.
“Saya tidak meviralkan perkara ini kerana ia hanyalah program kecil untuk kumpulan kami sahaja, tetapi ada individu lain yang menularkannya di dalam pelbagai media sosial.
“Ia sebenarnya hanyalah sambutan hari raya Aidilfitri yang diselitkan dengan program berkenaan,” katanya lagi.
Menerusi poster yang tular, acara tersebut dijadual diadakan pada Ahad depan di Taman Tasik Chatin, dekat Mentakab.
Penyertaan pertandingan itu dibuka kepada wanita berusia 20 tahun ke atas secara percuma dan walk-in.