Fenomena luar biasa laut terbelah di Pangkor jadi daya tarikan pelancong

Fenomena luar biasa laut terbelah di Pangkor jadi daya tarikan pelancong

 

Fenomena air laut surut di Pulau Giam di Pulau Pangkor pada penghujung Januari memang menjadi salah satu tarikan buat pelancong untuk ke pulau peranginan itu setiap tahun.

Fenomena itu menyebabkan keadaan laut seakan-akan terbelah dua sehingga membolehkan orang ramai menyeberang ke Pulau Giam dari Pantai Teluk Nipah dengan hanya berjalan kaki.

Dijadualkan fenomena berkenaan berlaku sebanyak dua kali tahun ini iaitu pada 21 hingga 25 Januari dan pada 19 hingga 22 Februari.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman, dalam pada itu, meminta orang ramai sentiasa berwaspada dan merujuk kepada agensi berkaitan terutama Jabatan Laut sebelum berkunjung ke situ.

Beliau berkata, maklumat waktu pasang surut air laut yang tepat serta perubahan cuaca perlu diperolehi sebelum mendedahkan diri kepada sebarang risiko dan bahaya.

“Kita sedia maklum, fenomena yang berlaku di pulau itu nanti akan menarik perhatian pengunjung untuk berjalan hingga ke tengah lautan.

“Justeru, kita beri peringatan awal agar sentiasa peka dengan keadaan semasa paras air laut, dan paling penting dapatkan maklumat yang tepat daripada jabatan dan agensi berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Kempen Pemeriksaan Menghapus Bahaya Kebakaran sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina di Tokong Kwan Yin Tong dekat sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Azmi berkat JBPM Perak telah melaksanakan pelan kontingensi dan tahap keselamatan di kawasan tumpuan pelancong itu melalui Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pangkor.

Menurutnya, langkah itu diambil memandangkan berlaku kes korban nyawa sebelum ini melibatkan pengunjung yang terperangkap ketika fenomena berkenaan berlaku.

“Kemungkinan kita akan meletakkan pasukan kita bersama peralatan menyelamat yang asas untuk bersiap sedia kerana sekiranya berlaku insiden tidak diingini, kita dapat tanganinya dengan lebih cepat,” katanya.