Filem Anwar: The Untold Story disabotaj, ramai mengadu tiada slot tayangan di pawagam
Tindakan segelintir pawagam yang didakwa enggan memberikan sokongan terhadap filem Anwar: The Untold Story benar-benar mengecewakan produksi filem berkenaan.
Meskipun filem biopik memaparkan kisah perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu telah mencatat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan, namun jumlah kutipan tidak memenuhi sasaran apabila filem terbitan Yusrych Global Sdn Bhd dan edaran oleh DMY Creation itu seperti disabotaj oleh pihak pawagam.
Tampil meluahkan rasa kecewa, Pengerusi DMY Creation iaitu Datuk Mohamed Yusoff mendakwa ada pawagam enggan memberikan kerjasama untuk menambah slot tayangan filem berkenaan.
Mohamed Yusoff kecewa pawagam tak beri slot tayangan tambahan.
“Saya kesal filem Anwar: The Untold Story disabotaj oleh pihak pawagam.
“Lebih mengecewakan ada pawagam menyediakan 40 slot tayangan untuk filem antarabangsa, namun hanya memberikan empat slot untuk naskhah yang mengangkat kisah perjuangan dan pengorbanan Perdana Menteri menentang amalan rasuah ini.
“Ia adalah tindakan tidak adil, sedangkan filem Anwar: The Untold Story ini sedang mendapat perhatian ramai, apatah lagi, ia mengenai kisah Perdana Menteri,” katanya.
Kata Mohamed Yusoff lagi, pihaknya juga membuat tinjauan setiap hari untuk mengetahui respon penonton.
Malah, ramai mengadu tidak dapat menonton filem berkenaan kerana tiada slot tayangan.
“Ramai penonton membuat aduan tidak dapat menonton di beberapa pawagam berikutan tiada slot tayangan.
“Jadi, kami bertindak membuat aduan kepada pihak pawagam, namun keadaan masih sama pada hari ketiga tayangan, semalam (Sabtu).
“Justeru, kami tidak boleh mendiamkan diri dan memilih untuk bersuara,” ujarnya.
Bukan itu sahaja, tindakan pawagam tidak memberikan sokongan terhadap filem tempatan memberi impak buruk terhadap pembangunan industri perfileman.
“Ini juga satu tindakan yang tidak adil buat pembikin karya tempatan.
“Kami menghasilkan karya dengan bajet tinggi, namun bagaimana industri perfileman tempatan mampu bergerak ke hadapan sekiranya pihak pawagam bertindak mensabotaj terhadap karya tempatan.
“Industri perfileman tempatan tentunya akan berada di takuk lama dengan tindakan tidak bertanggungjawab sebegini,” ujarnya.
Sementara itu, Mohamed Yusoff berkata, pihak berkenaan juga perlu tahu membezakan politik dan hiburan.
“Kalau kita sendiri enggan memberikan sokongan terhadap karya tempatan, siapa lagi boleh membantu?
“Timbul juga persoalan apa yang menjadi penghalang pihak pawagam menyediakan lebih banyak slot tayangan dan siapa perlu bertanggungjawab?
“Saya berharap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dapat memantau perkara ini agar layanan karya tempatan dan antarabangsa diberikan sama rata,” ujarnya.
Anwar: The Untold Story dibintangi Farid Kamil yang memegang watak Anwar, manakala aktres popular Indonesia, Acha Septriasa membawa watak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku teraju utama.
Selain itu, filem berdurasi berlatarkan tempoh antara 1993 dan 1998 ketika memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan berdurasi 108 minit turut dibintangi oleh Hasnul Rahmat, Firdaus Karim, Saskia Chadwick, Piet Pagau dan Dewi Irawan.
Ia menemui penonton di 124 pawagam seluruh Malaysia sejak Khamis lalu.