Firma perubatan di India lantik KJ jadi Ahli Lembaga Pengarah, rupanya ini alasan syarikat

Firma perubatan di India lantik KJ jadi Ahli Lembaga Pengarah, rupanya ini alasan syarikat

 

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilantik sebagai ahli lembaga pengarah di firma perubatan yang berpangkalan di India iaitu Fischer Medical Ventures Limited.

Firma yang sebelum ini dikenali sebagai Fischer Chemic Ltd mengumumkan bahawa perlantikan Khairy sebagai pengarah tambahan adalah atas kapasiti pengarah bebas.

Pelantikan itu diputuskan dalam mesyuarat lembaga pengarah yang diadakan pada 4 Mei lalu di ibu pejabat firma berkenaan di Mumbai Barat, Maharashtrapada, India.

Menerusi satu kenyataan, firma tersebut memaklumkan perlantikan Khairy sebagai pengarah bebas berkuat kuasa dalam tempoh lima tahun bermula pada Sabtu lalu.

Dalam kenyataan rasmi tersebut, Khairy disebut sebagai personaliti serba boleh, ahli perniagaan yang dinamik, tokoh media berpengaruh dan pengulas politik yang bijak.

“Khairy Jamaluddin mempamerkan fleksibiliti dan dedikasi dalam kerjayanya yang cemerlang merangkumi politik, keusahawanan dan perkhidmatan awam di Malaysia. Khairy muncul sebagai tokoh terkemuka dalam landskap sosiopolitik dengan latar belakang yang teguh dalam kedua-dua bidang akademik dan profesional.

“Semasa memegang jawatan Menteri Kesihatan, Khairy menerajui respons Malaysia terhadap pandemik COVID-19, transformasi digital sistem penjagaan kesihatan dan memperjuangkan penyelesaian inovatif untuk meningkatkan kebolehcapaian dan kecekapan dalam teleperubatan dan platform kesihatan digital.

“Beliau juga memikat hati penonton sebagai hos bersama program radio terkenal di Malaysia dan juga pengacara audio siar (podcast) hal ehwal semasa. Peranan beliau yang dihormati sebagai Felo Kanan Pelawat dan Profesor Adjung menekankan dedikasi beliau untuk membentuk pemimpin masa depan,” katanya.

Dalam semua kapasiti, Fischer Medical Ventures Limited menyifatkan bekas Menteri Belia dan Sukan itu merangkumi kepimpinan, integriti, dan dedikasi kepada kemajuan.

Kenyataan rasmi yang ditandatangani oleh Deepak Vyas selaku setiausaha syarikat itu turut menyatakan bahawa pelantikan terbabit tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dalam Proses Undi Mel.