Fitnah Lim Kit Siang terlibat peristiwa 13 Mei, Annuar Musa semakin selesa jiwai ‘akhlak’ pejuang Pas
Aktif berceramah di pentas PAS, Annuar Musa mula menyentuh isu sensitif berkaitan tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Walaupun DAP berulang-kali menafikan penglibatan mereka dengan peristiwa berdarah itu, bekas menteri Umno yang kini menjadi ahli PAS itu tetap mengaitkan DAP.
Ketika berceramah di Bachok malam tadi, Annuar berkata pertumpahan darah berlaku pada 13 Mei berlaku dalam pilihan raya umum pertama yang disertai DAP.
“Sekali pilihan raya tahun 1969 dia (Kit Siang) berkempen atas nama DAP, sekali pilihan raya pertumpahan darah 13 Mei 1969 berlaku. DAP ada saham besar.
“Tuan-tuan buka ada satu buku yang menulis ucapan-ucapan Lim Kit Siang termasuk di saat pembunuhan berlaku di Kampung Baru, Lim Kit Siang tengah berucap di Kota Kinabalu masih lagi mengapi-apikan isu Bumiputera dan bukan Bumiputera dan sebagainya,” dakwa Annuar di hadapan lebih 1,000 hadirin.
Malaysiakini tidak dapat mengesahkan dakwaan Annuar.
Portal ini juga telah menghubungi Lim dan DAP bagi mendapatkan maklum balas berkaitan dakwaan Annuar.
Sebelum ini Lim pernah menyaman bekas ketua polis negara Hanif Omar dan Sinar Harian pada 19 Oktober 2018 kerana mengaitkannya dengan 13 Mei.
Hanif kemudian memohon maaf di mahkamah terbuka untuk menyelesaikan saman fitnah itu.
Sinar Harian menerbitkan permohonan maaf bertulis kepada Lim berhubung penyiaran kenyataan Hanif dalam dua artikel yang diterbitkan pada September 2018.
Lim juga sebelum ini menyifatkan dia berdepan “fitnah keji” susulan serangan politik sebegitu.
Menafikan menghasut di jalan-jalan di Kuala Lumpur pada 11, 12 dan 13 Mei, Lim berkata dia berada di luar Kuala Lumpur pada tarikh-tarikh itu.
”Saya masa itu bertanding di Bandar Melaka, dan berada di pusat pengiraan undi di Melaka sehingga awal pagi 11 Mei 1969 kerana menunggu keputusan, hanya kembali kepada keluarga saya di Petaling Jaya pada 11 Mei (Ahad).
“Pada hari Isnin seterusnya, iaitu 12 Mei 1969, saya pulang ke Bandar Melaka untuk mengucapkan terima kasih kepada para pengundi di perarakan berterima-kasih-kepada-pengundi pada petang dan menghadiri satu rapat umum berterima-kasih-kepada-pengundi pada malam.
“Kedua-dua acara itu telah berlangsung secara aman,” katanya.
Pada 13 Mei pula, katanya, dia berucap di rapat umum di Kota Kinabalu.
Pada ketika itu, katanya, barulah dia tahu bahawa huru-hara telah berlaku di Kuala Lumpur.
Zahid ‘Si Kitol’, kata Annuar
Sementara itu Annuar membidas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang didakwanya berperanan sebagai ‘Si Kitol’ yang membuka pintu untuk DAP ke parlimen dan Putrajaya.
Dakwaannya, selepas berlaku peristiwa 13 Mei 1969, Tun Abdul Razak Hussein menyekat kemaraan DAP dengan menubuhkan BN termasuk disertai PAS.
“Sejak itu DAP tak boleh mara, tiap kali pilihan raya DAP tidak boleh bangkit sehingga wujud manusia bernama Zahid Hamidi yang menjadi Si Kitol yang membuka pintu untuk membawa DAP masuk ke parlimen dan Putrajaya.
“Inilah Zahid Hamidi yang saya tentang habis-habisan,” tegasnya.