Fitnah MP Dap : Jamal Yunos mohon maaf
Kes saman fitnah difailkan bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin terhadap Datuk Seri Jamal Md Yunos, berjaya diselesaikan secara baik selepas Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu memohon maaf secara terbuka di mahkamah di sini, hari ini.
Permohonan maaf itu dibacakan Jamal, 51, di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan dihadiri peguamnya, V Mugunthan dan Mohammed Nasser Yusof.
Jamal selaku defendan memohon maaf kerana memfitnah Bee Yin sebelum ini dan mengakui Bee Yin adalah seorang yang jujur dan telus dalam pengurusan wang Skim Mesra Usia Emas.
“Saya ingin memohon maaf kepada Bee Yin atas kesilapan saya,” katanya.
Sementara itu, peguam Datuk Sankara Nair, yang mewakili Bee Yin, berkata reputasi adalah komoditi yang sangat berharga kepada semua.
Katanya, prosiding hari ini dan permohonan maaf secara terbuka oleh Jamal membersihkan nama baik anak guamnya yang sebelum ini terjejas.
“Tidak dapat dinafikan karakter dan reputasi anak guam saya sangat baik dan beliau berjaya menyangkal tuduhan terhadapnya,” katanya.
Terdahulu, kes itu hari ini ditetapkan untuk perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Rozana Ali Yusof.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes saman itu menerusi penghakiman persetujuan.
Pada 14 Jun 2017, Bee Yin selaku plaintif memfailkan saman menuntut ganti rugi RM5 juta daripada Jamal berhubung kenyataan fitnah membabitkan dakwaan menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
Menurut pernyataan tuntutannya, Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Bakri, mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan memfitnah pada 21 Mac 2017 dan kenyataan itu diterbitkan beberapa akhbar, portal berita dan dalam akaun Facebook Jamal.
Bee Yin mendakwa kenyataan Jamal, antara lain memberi tanggapan beliau menyalahgunakan dana awam untuk kegunaan peribadi dan menggambarkan beliau seorang yang tidak beretika serta tidak boleh dipercayai.
Selain ganti rugi am RM5 juta, Bee Yin juga menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi untuk menghalang Jamal daripada mengulangi dakwaannya itu. – BH