Fitnah tiada azan di Pulau Pinang, Jamal pertahan kandungan Tik Toknya sekalipun telah meminta maaf
Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah tetap pertahankan kandungan Tik Toknya sekalipun tampil membuat permohonan maaf kepada rakyat Malaysia dan parti DAP hari ini.
Menerusi video TikTok itu, penyanyi lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu dilihat memberikan pesanan agar tidak mengundi DAP berikutan beberapa isu seperti laungan azan dan sekolah tahfiz yang didakwa pernah dipolitikkan parti berkenaan hingga menimbulkan polemik.
“Kepada peminat dan rakyat Malaysia yang mengikuti video TikTok, saya sebenarnya mendengar pandangan mengenai isu yang saya sebutkan.
“Dengan rasa rendah diri, saya mohon ampun dan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Ini kerana saya ‘spin’ perkara ini dalam keadaan saya tidak mengetahui. Sebagai rakyat Malaysia, saya tidak mahu perkara seumpama ini berlaku.
“Kepada DAP khususnya, saya mohon maaf atas kesilapan dilakukan,” katanya dalam video berdurasi 2.20 minit di Twitter yang dipetik Berita Harian.
Penyanyi berusia 63 tahun itu berkongsi, apa yang disebutkan dalam video TikTok itu pernah tular suatu ketika dahulu.
“Apabila berbincang dengan kawan-kawan, isu ini menjadi topik.
“Pernah atau tidak terjadi, terpulang kepada masing-masing.
“Semoga dengan pencerahan ini tiada lagi tuduhan saya buat fitnah. Ini kerana isu pernah tular empat, lima tahun lalu,” ujarnya.