Fizz Fairuz suka tengok Almy Nadia nampak berisi, tetap cinta sepenuh hati

Fizz Fairuz suka tengok Almy Nadia nampak berisi, tetap cinta sepenuh hati

 

Meskipun ramai yang meminta isteri tercinta, Datin Almy Nadia untuk menurunkan berat badan, namun pelakon Datuk Fizz Fairuz menerima keadaan fizikal isteri seadanya.

Memetik Kosmo, Fizz berkata dia tidak kisah dengan perubahan fizikal isterinya kerana tetap akan menyayangi dan mencintai wanita yang melahirkan empat cahaya matanya itu sepenuh hati.

“Kadang-kadang isteri tanya sama ada saya sayangkan dia atau tidak kerana bentuk badannya yang gemuk. Saya cakap biarlah.

“Kalau awak kurus, saya mengandungkan awak balik. Sebab saya menerima dirinya yang sekarang. Saya tidak kisah kerana saya suka dia begitu (gemuk),” katanya.

Menurut Fizz, dia meluahkan rasa syukur dikurniakan isteri yang sempurna dimatanya dan pandai menguruskan rumah tangga serta anak-anak.

“Kalau dia kurus, saya tidak fikir isteri akan dapat jadi seorang ibu sempurna. Saya bersyukur dengan kehadiran empat orang cahaya mata dalam keluarga. Jadi tidak perlu fikir kalau orang bercakap buruk tentangnya,” katanya.

Dalam pada itu, Fizz berkata dia pernah memberi galakan kepada isteri untuk menurunkan sedikit berat badan namun mestilah dengan secara selamat dan tidak memudaratkan.

“Saya pernah suruh dia kuruskan badan. Saya beri galakan. Tapi cara yang bagaimana? Potong usus? Sementara nak tunggu sembuh lebih kurang dua minggu, anak-anak nanti bagaimana?

“Saya nak ambil pembantu, dia tak mahu. Semua kerja nak buat sendiri. Saya tahu isteri penat buat kerja rumah, uruskan anak-anak ke sekolah. Tapi itu yang dia mahukan,” katanya.