Fobia dengan wanita, lelaki nekad kurung diri sejak umur 16 tahun
Seorang lelaki di Rwanda dilaporkan telah berkurung selama 55 tahun di dalam rumahnya bagi mengelak daripada berhubung dengan mana-mana wanita, lapor The Maravi Post.
Calixte Nzamwita, 71, memutuskan untuk mengurung diri di rumahnya yang mempunyai satu bilik sejak dia masih remaja.
Malah Nzamwita mendedahkan bahawa dia telah bersembunyi di ‘tempat persembunyiannya’ itu ketika dia masih berusia 16 tahun.
Menurut lelaki itu, wanita adalah menakutkan dan dia juga mengaku telah bersembunyi selama 55 tahun tanpa sebarang sentuhan fizikal dengan mana-mana wanita.
“Saya mengurung diri di dalam rumah supaya dapat menjauhkan diri daripada wanita. Saya tidak mahu wanita di sekeliling saya kerana ia membuatkan saya sangat takut,” jelas Nzamwita kepada Afrimax sebuah rancangan Televisyen.
Lelaki tua itu juga telah bertindak memagar rumahnya dengan kayu dan hanya melangkah keluar sekali-sekala, katanya.
Sangat mustahil untuk melihat dia keluar rumah
Gadis muda yang juga jiran lelaki itu berkata: “Saya mengenali dia yang hanya tinggal di dalam rumah sejak saya masih kecil.”
“Ia sangat mustahil untuk melihat dia keluar kerana dia sangat takut dengan wanita,” tambah jirannya itu.
Nzamwita dikatakan telah tinggal di rumah satu bilik berpagar itu sejak 55 tahun lalu. Rumah itu digunakan sebagai dapur, bilik tidur dan juga tandas.
Bagaimanapun, dia masih menerima makanan daripada jiran wanitanya walaupun mengelak daripada bersentuhan secara fizikal dengan mereka.
“Dia tidak mahu kami mendekati atau bercakap dengannya apabila kami cuba membantunya. Sebaliknya, kami melemparkan barang-barang ke dalam rumahnya dan kemudian dia datang dan mengambilnya.
“Dia masih mengambil apa yang kami tawarkan dari jauh, namun tidak membiarkan sesiapa pun daripada kami mendekatinya,” jelas jiran Nzawita lagi.
Ramai yang percaya bahawa Nzamwita mengalami gynephobia, iaitu sejenis fobia yang ketakutan terhadap wanita.
Pengalaman buruk sebelum ini dengan wanita seperti, penderaan mental atau fizikal, pengabaian, rogol, atau gangguan seksual boleh menyebabkan fobia itu.