Frontliners dikerah bekerja, menteri boleh pula bercuti panjang ke luar negara

Frontliners dikerah bekerja, menteri boleh pula bercuti panjang ke luar negara

Keberadaan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara Kumar ketika ini membuat Puad Zarkashi terkenang kepada petugas barisan hadapan (frontliners) negara yang menguruskan Covid-19.

Menurut anggota Majlis Tertinggi Umno itu, dia berasa sangat simpati terhadap kakitangan barisan hadapan yang masih terus bergelut menghadapi wabak tersebut dan tidak dapat menikmati cuti seperti Santhara Kumar.

Paling lama petugas barisan hadapan itu dapat bercuti pun, kata Puad, ialah dua tiga hari saja dan itu pun mungkin hanya untuk melawat anak dan isteri yang berada di luar daerah tempat mereka bertugas.

Rakyat juga katanya berasa pelik bagaimana permohonan cuti panjang selama 55 hari itu boleh diluluskan dan ia dianggap amat luar biasa kerana alasannya ialah untuk bersama keluarga yang berada di luar negara.

“Santhara bagi alasan, dia mohon cuti dan kelulusan rentas sempadan ke New Zealand kerana mahu menjadi seorang ayah yang bertanggungjawab.

“Apakah rakyat biasa yang dilarang melakukan rentas daerah atau negeri untuk melawat keluarga mereka (boleh) dianggap sebagai ibu bapa yang tidak bertanggungjawab?

“Mereka bukan mohon rentas negara,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial pagi ini.

Dulu cuti menteri, timbalan dibekukan

Keberadaan Santhara Kumar mula menjadi perhatian selepas Ahli Parlimen Batu P Prabakaran membangkitkannya dengan merujuk kepada laporan Sarawak Report.

Ahli parlimen Segamat itu didakwa berada di New Zealand sejak akhir tahun lalu lagi.

Semalam Santhara Kumar – yang memenangi kerusi Segamat atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada PRU 2018 dan berpaling tadah menyertai Bersatu pada tahun lalu – tampil membuat penjelasan.

Katanya dia memohon cuti selama 55 hari bekerja melalui menteri dan mendapat kelulusan perdana menteri pada 3 Dis 2020.

Edmund Santhara Kumar

 

“Tujuan saya keluar negara ialah bagi melawat anak-anak saya di New Zealand, khususnya anak saya yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang.

“Selain itu, sebagai bapa yang bertanggungjawab saya perlu bertemu dengan anak yang berusia sembilan tahun bagi menjalankan tanggungjawab sebagai bapa sepanjang cuti rehat tersebut setelah hampir setahun tidak berjumpa,” katanya.

Puad menambah sebagai wakil rakyat seseorang itu perlu berada di kawasan yang diwakili sekerap mungkin, terutama ketika negara berdepan dengan wabak serta musim banjir seperti sekarang.

Kata Puad, Segamat juga tidak terlepas daripada kesan masalah tersebut.

Semasa BN menjadi kerajaan katanya cuti semua menteri dan timbalan menteri dibekukan pada musim banjir.

Najib Razak pula katanya, membatalkan percutian dan terus ke Kelantan ketika negeri tersebut dilanda banjir besar pada 2014.

“Apakah jawatan timbalan menteri Wilayah Persekutuan tidak penting? Makin berleluasa amalan dua darjat di negara kita,” katanya. – MK