Fungsi butang ‘soak’ pada mesin basuh yang ramai tak tahu, dikenali sebagai butang paling power
Mesin basuh yang kotor dan berkeladak boleh menjadi punca kain berbau hapak walaupun telah diletakkan sabun dan pewangi pakaian.
Kekotoran pada mesin ini juga boleh melekat pada kain sekiranya peralatan elektrik tersebut tidak dicuci secara berkala.
Tidak perlu membelanjakan wang untuk mengupah orang atau membeli perkakas khusus buat mencuci, pembaca cuma perlu menekan satu butang.
Bukan hiasan semata-mata, butang SOAK atau TUBE CLEANING di mesin basuh itu berfungsi untuk mencuci kekotoran yang melekat di dinding mesin.
Hanya perlu menyediakan sedikit cuka dan soda bikarbonat, berikut adalah langkah-langkah yang perlu pembaca ikuti untuk mencuci mesin basuh.
1. Tekan butang ON
2. Pilih dan tekan program SOAK atau TUBE CLEANING. Kemudian, tekan START.
3. Apabila mesin sudah mula mengisi air sehingga hampir penuh, masukkan CUKA dan SODA BIKARBONAT.
Panduan mudah ini dikongsi oleh seorang pengguna Facebook menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun milik Ika Hazman.
“Sukatan cuka dan soda bikarbonat itu boleh agak-agak sahaja. Memadai dengan masukkan suku cawan cuka bersama dua hingga tiga sudu soda bikarbonat.
“Selepas itu, tutup bahagian atas mesin basuh dan biarkan sehingga proses itu selesai. Tetapi, janganlah letak kain pula ya,” selorohnya.
Menurut Ika, mesin basuh perlu dicuci seelok-eloknya dalam tempoh dua bulan sekali agar peralatan elektrik itu dapat berfungsi dengan baik.
Hal ini kerana, mesin ini senang terdedah kepada kerosakan sekiranya terlalu banyak habuk dan kekotoran yang terkumpul.