G. Logeswaran dicari polis bantu siasatan kebakaran di gedung pakaian Jakel

G. Logeswaran dicari polis bantu siasatan kebakaran di gedung pakaian Jakel

Polis masih mengesan suspek utama disyaki terlibat kes khianat api membabitkan dua kebakaran di sebuah gudang pakaian di Jalan 2/17 Mutiara Fadason di sini, baru-baru ini yang membabitkan kerugian mencecah RM1.5 juta.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, suspek, G Logeswaran, 41, yang beralamat di M2-3-14 Jalan Pandan Indah 6/1, Pandan Indah di sini, dipercayai dapat membantu untuk menyelesaikan siasatan kes terbabit.

Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian pertama kebakaran gudang pakaian berkenaan daripada pengurus berusia 31 tahun pada 6 Januari lalu.

“Kebakaran itu berjaya dipadamkan yang mana ia hanya meliputi kawasan bahagian hadapan gudang. Semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kebakaran bermula jam 3.06 pagi dan terdapat kelibat suspek memanjat tembok serta membaling sesuatu ke arah gudang dan selepas itu nampak nyalaan api.

“Kerugian dianggarkan sebanyak RM4,000 yang membabitkan kerosakan peti ais, sofa serta peti suis elektrik yang berada di bahagian luar gudang. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Eng Lai berkata, pada 11 Januari sekitar jam 4.30 pagi polis sekali lagi menerima laporan kebakaran membabitkan gudang sama dengan kerugian mencecah RM1.5 juta.

“Kejadian dilaporkan berlaku di bahagian belakang gudang. Setelah kebakaran berjaya dipadam oleh pihak bomba, mangsa mendapati segala stok baju Melayu dan barangan lain telah terbakar

“Anggaran jumlah stok baju Melayu yang terbakar adalah sebanyak 14,400 helai yang mana jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan bernilai RM1.5 juta,” katanya.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat risikan, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Sentul telah menjalankan enam serbuan berasingan di sekitar Selangor dan menahan sembilan lelaki tempatan.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek terbabit menerima upah sebanyak RM10,000 daripada pihak ketiga untuk membakar gudang pakaian berkenaan.

“Dua suspek dituduh bagi kejadian pertama manakala tiga suspek lagi dituduh bagi kejadian kedua. Semua suspek yang dituduh dipercayai adalah orang upahan untuk melakukan pembakaran gudang itu.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan dengan individu itu boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Izzat Jamaluddin di talian 017-7331772 atau Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206,” katanya.