Gabungan pembangkang lebih penting daripada calon PM

Gabungan pembangkang lebih penting daripada calon PM

Terlalu memberi fokus kepada siapa calon Perdana Menteri menyebabkan pembangkang tidak mampu menjatuhkan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berpendapat, pembangkang hanya boleh berada di bawah satu gabungan yang kuat jika soal calon Perdana Menteri sebagai isu kedua.

“Kebanyakan fokus kita (pembangkang) ialah calon Perdana Menteri yang menyebabkan kita tidak boleh duduk bersama.

“Kalau kita boleh meletakkan hal itu sebagai isu kedua, kita boleh menggabungkan pembangkang yang ada hari ini sebagai blok pembangkang yang kuat.

“Apa nama sekali pun, grand coalition (gabungan besar) atau PH Plus itu tidak penting,” jelasnya dalam Dialog Pembangkang Siri 2 di Astro Awani malam tadi.

Ahli Parlimen Seremban tersebut berkata, Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada tiga parti iaitu DAP, AMANAH dan PKR juga memerlukan kekuatan parti-parti pembangkang lain.

“Mungkin kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju. Itulah pendekatan yang kita pakai semasa Barisan Alternatif antara DAP dan Pas ketika itu,” jelasnya.

Beliau mengingatkan pembangkang perlu memahami negara ini bukan mengamalkan sistem presiden yang meletakkan seorang calon untuk menang pilihan raya.

“Lihat pada strategi untuk memenangi PRU-15. Kita kena faham sistem. Kita sistem berparlimen. Yang memenangkan kita ialah jumlah kerusi yang mencukupi,” tegasnya.

Sehubungan itu, Anthony yang juga bekas Menteri Pengangkutan itu mengulangi pendiriannya bahawa soal siapa calon Perdana Menteri bukan satu-satunya hal penting dalam pembangkang.

Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah itu berkata, pembangkang memerlukan lebih ramai tokoh bukan bergantung pada seorang tokoh sahaja.

“Anwar dan ketokohannya tidak dipertikai tetapi kita memerlukan lebih ramai tokoh.

“Di Sabah misalnya, kita memerlukan ketokohan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Presiden Parti Warisan Sabah) untuk menang lebih banyak kerusi.

“Di Kedah pula, kita memerlukan ketokohan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Bakal Presiden Parti Pejuang Tanah Air) untuk menang lebih banyak kerusi di negeri itu,” katanya.

Anthony berpendapat lebih ramai tokoh pembangkang tersebut membolehkan pembangkang memenangi seberapa banyak kerusi Parlimen supaya cukup bilangan untuk membentuk kerajaan.

“Itu bagi saya strategi yang paling penting. Kalau kita lihat tahun 2008, kali pertama pembangkang menang besar PRU.

“Sebelum 2008, kita tidak pernah anggap mampu menang di Selangor. Kita tiada calon Menteri Besar pun di Selangor. Di Pulau Pinang pun, kita tidak namakan Lim Guan Eng sebagai calon Ketua Menteri.

“Tetapi kita menang. Kita diberi kekuatan cukup bilang untuk membentuk kerajaan negeri dan kita lantik Menteri Besar/Ketua Menteri,” tambahnya lagi.

Sumber: https://malaysiadateline.com/siapa-calon-pm-letak-nombor-dua-gabungan-pembangkang-paling-penting/