Galakkan rakyat beli kereta waktu PKP tindakan kerajaan untungkan syarikat kereta dan bank

Galakkan rakyat beli kereta waktu PKP tindakan kerajaan untungkan syarikat kereta dan bank

Bekas perdana menteri, Najib Razak berkata, pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) 6% tanpa had bagi semua kereta buatan tempatan dan import hanya menguntungkan syarikat kereta dan bank ketika beban hutang rakyat semakin meningkat.

“Suruh orang duduk rumah tapi galak mereka keluar beli kereta,” kata beliau, dalam mengaitkan pengecualian SST itu kepada tindakan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 sejak Selasa lalu.

“Tahun lepas dan sekali lagi pada bulan Mac 2021, saya telah beri pandangan saya bahawa lanjutan pengecualian SST bagi kereta yang bermula 30 Jun 2020 ini ada risikonya.

“Ini kerana ia lebih menguntungkan syarikat kereta, bank yang memberi pinjaman dan golongan kaya berbanding rakyat biasa, di samping akan memberi kesan negatif kepada rakyat dan ekonomi masa depan,” katanya di Facebook.

Najib berkata, ramalannya mengenai pengecualian SST itu terbukti benar apabila syarikat kereta serta bank mengumumkan keuntungan rekod tertinggi, meskipun negara dicengkam pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.

Bagaimanapun, di sebalik “durian runtuh” dinikmati bank dan syarikat kereta, nisbah hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menokok kepada 93.3% pada akhir 2020, kata Najib.

Ia adalah paras paling tinggi dalam sejarah negara, katanya.

Beliau secara sinis mempersoalkan sama ada kerajaan PN menyasarkan nisbah hutang rumah tangga mencecah 100%.

Najib berkata, ketika rakyat menderita dan disuruh “duduk rumah”, pelbagai pihak lain turut meraih keuntungan lumayan hasil “lockdown” kerajaan.

“Antara paling ‘happy’ juga adalah syarikat-syarikat insurans yang dapat lebih ramai pelanggan tanpa menurunkan satu sen harga insurans pada ketika pampasan dibayar mereka terjimat.

“Ini kerana kemalangan dan kes pencurian kereta jatuh mendadak akibat orang ramai disuruh duduk rumah semasa PKP ‘lockdown’ yang berpanjangan,” katanya.

Najib berkata, pengecualian cukai jualan berkenaan lebih menguntungkan syarikat kereta, bank dan golongan kaya berbanding rakyat biasa.

Katanya, golongan kaya akan menerima diskaun lebih besar untuk membeli kereta mewah apabila SST dikecualikan.

“Lebih mahal kereta, lebih besar diskaun dan manfaat kepada orang kaya.

“Jika nak beri pengecualian, jangan beri secara pukal. Berilah kepada mereka yang tidak pernah membeli dan mendaftar kereta baru sejak lima tahun lepas dan hanya beri untuk kereta bukan mewah,” katanya.

Najib juga mencadangkan supaya kerajaan mengutamakan penggunaan pengangkutan awam dan tidak menggalakkan rakyat sering bertukar kereta dan menambah hutang kepada bank.

Katanya, pengecualian itu hanya memberi kesan kepada keupayaan kerajaan membela rakyat yang serba kekurangan.

“Ini bermakna kerajaan akan kurang hasil SST sebanyak RM5 bilion untuk diberi sebagai bantuan kepada golongan B40 dan M40 yang lebih memerlukannya pada ketika PKP ‘lockdown’ yang tak habis-habis,” katanya.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan pengecualian SST untuk pembelian kereta baharu akan dilanjutkan sehingga hujung tahun ini.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/03/suruh-orang-duduk-rumah-tapi-galak-mereka-keluar-beli-kereta-najib-bidas-pn-mengenai-sst/