Gara-gara Adun PN tampal kotak dengan pelekat logo parti, Yayasan Perak akan agih sendiri bantuan kotak makanan

Gara-gara Adun PN tampal kotak dengan pelekat logo parti, Yayasan Perak akan agih sendiri bantuan kotak makanan

 

Yayasan Perak menafikan dakwaan agensi itu bakal menghentikan pengagihan kotak makanan kepada rakyat miskin dan golongan memerlukan, khususnya di kawasan diwakili wakil rakyat pembangkang pada bulan depan.

Pengurus Pentadbiran Yayasan Perak, Mohamad Hidayat Abd Halim, berkata sebaliknya, Yayasan Perak sebagai agensi bertanggungjawab menyelaraskan program itu akan terus menyalurkan bantuan tanpa mengira kawasan, malah membuat langkah penambahbaikan bagi memastikan ia memberi manfaat secara langsung kepada golongan sasar.

Beliau berkata, Yayasan Perak memandang serius pelbagai aduan diterima, termasuk perbuatan membuka kotak dan membuat pembungkusan semula, menampal kotak dengan pelekat tertera logo parti politik, mengubah kuantiti asal bungkusan makanan serta pengagihan tidak mengikuti kuota dan tempoh ditetapkan.

“Tindakan pembungkusan semula atau menampal kotak dengan pelekat lain sehingga menutup label jenis makanan dan tarikh akhir penyaluran kotak makanan, dikhuatiri mengakibatkan berulangnya insiden tidak diingini seperti penerima mendapat barang makanan tamat tarikh luput.

“Mengambil berat isu dan aduan diterima, Yayasan Perak mengesyorkan kaedah penyaluran bantuan tersebut ditambah baik bagi memastikan ia benar-benar sampai kepada golongan sasar serta menjamin kuantiti dan kualiti barang makanan diagihkan sentiasa dalam keadaan memuaskan,” katanya dalam kenyataan.

Mulai bulan depan, Hidayat berkata, pengagihan kotak makanan tidak lagi disalurkan menerusi mana-mana pusat khidmat Adun, sebaliknya diagihkan terus Yayasan Perak dengan kerjasama NGO dilantik.

Katanya, Yayasan Perak sangat mengambil berat tanggungjawab memastikan setiap kotak makanan diagihkan kepada rakyat memerlukan selamat, selepas melalui proses kawalan kualiti.

“Yayasan Perak juga komited mematuhi polisi kerajaan negeri seperti ditetapkan Menteri Besar, Saarani Mohamad, supaya penyaluran bantuan kotak makanan kepada golongan memerlukan dilakukan secara adil, tanpa mengira kawasan kerajaan atau pembangkang.”

Beliau berkata, Yayasan Perak akan terus menjalin hubungan baik dengan semua wakil rakyat di negeri ini dan sentiasa terbuka berkongsi maklumat bagi memastikan golongan susah yang memerlukan bantuan makanan di kawasan masing-masing dapat disantuni sebaiknya.

Semalam, Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria mendakwa pemberian 50 kotak makanan tidak lagi diberikan untuk Oktober bagi pusat khidmat DUN pembangkang.