Gara-gara anak-anak enggan duduk serumah, jutawan kesunyian lelong banglo 5 tingkat

Gara-gara anak-anak enggan duduk serumah, jutawan kesunyian lelong banglo 5 tingkat

 

Satu rakaman video yang memaparkan persekitaran sebuah rumah banglo mewah di Rawang telah mengundang perbincangan hangat baru-baru ini.

Mempunyai empat buah blok, banglo terbiar yang menyerupai sebuah resort percutian itu juga dibina dengan ketinggian mencapai lima tingkat.

Namun, di sebalik kemewahan yang dapat dilihat dari luaran, rupanya ada kesunyian yang mula timbul di jiwa pemilik rumah banglo berkenaan.

Kisah itu didedahkan di laman TikTok seorang lelaki yang bergiat aktif di dalam perniagaan hartanah.

Menurut hantaran tersebut, lelaki yang bernama Jimmy Harizul itu mulanya bersiar-siar di sekitar Rawang sebelum matanya terpaku di sebuah kediaman.

Terpapar satu papan kenyataan yang memaklumkan bahawa banglo mewah itu adalah untuk dijual dan nombor pemilik rumah juga turut disertakan.

Perasaan ingin tahu telah membuatkan Harizul bertindak untuk menghubungi pemilik rumah berkenaan untuk bertanya dengan lebih lanjut.

Mulanya hanya berbual kosong, pemilik itu kemudian mendedahkan sebab sebenar mengapa dia memutuskan untuk menjual banglo tersebut.

Katanya, pemilik rumah mewah itu mula terasa sunyi apabila anak kian membesar dan membuat keputusan untuk meninggalkan banglo itu.

Enggan lagi tinggal bersama, anak-anak pemilik banglo mewah itu difahamkan sudah memiliki rumah dan kehidupan mereka sendiri.

“Anak-anak dia dah ada rumah sendiri dan tidak mahu duduk di situ. Jadi dia rasa macam bersendirianlah kalau tinggal di situ seorang diri.

“Dia (pemilik rumah) pun pindah Petaling Jaya, tinggal di rumah kondominium.” Kongsi Harizul.

Mungkin kedengaran klise, namun terbuktilah bahawa kekayaan dan kemewahan yang dikecapi tidak akan menjanjikan kebahagiaan.