Gara-gara bakal suami lari dari majlis perkahwinan, bakal bapa mentua pula yang dipaksa menikah dengan pengantin perempuan

Gara-gara bakal suami lari dari majlis perkahwinan, bakal bapa mentua pula yang dipaksa menikah dengan pengantin perempuan

 

Sepatutnya menjadi hari yang paling bahagia, majlis perkahwinan gadis ini bertukar tragedi selepas dinikahkan dengan bakal mentuanya sendiri.

Harus menerima takdir, kejadian mengejutkan itu dipercayai berpunca daripada tindakan pengantin lelaki yang melarikan diri sebelum majlis akad nikah dimulakan.

Bagi menutup malu, bapa pengantin lelaki memutuskan untuk meneruskan majlis tersebut dengan menggantikan anaknya dan menikahi bakal menantunya sendiri.

Video memaparkan lelaki berpakaian kemeja batik lengan panjang sedang duduk berhadapan dengan individu yang didakwa bapa pengantin lelaki turut tular di media sosial.

Mengundang perbincangan hangat, video tersebut dipercayai merakamkan majlis ijab dan kabul antara bapa pengantin lelaki bersama ‘bekas’ bakal menantunya itu.

Difahamkan, majlis pernikahan yang berlangsung pada 29 Ogos lalu itu terpaksa diteruskan kerana kedua belah keluarga telah menyiapkan segala persiapan.

Memetik laporan TribunNews, kejadian tersebut berlaku di Kampung Jikotamo yang terletak di daerah Obi, Halmahera Selatan, Indonesia.

Abang kepada pengantin perempuan, Wisto Ahmad memaklumkan bahawa keluarga kekasih adiknya segera hadir ke lokasi pernikahan selepas pemuda itu melarikan diri.

“Bayangkan, para tetamu sudah datang untuk memenuhi undangan majlis pernikahan mereka.

“Kemudian, pihak keluarga lelaki itu memberitahu yang anak mereka hilang tanpa dapat dikesan,” kata Wisto memetik TribunNews.

Jelas kecewa dengan apa yang sudah terjadi, Wisto mendedahkan bahawa adiknya sudah lama menjalinkan hubungan cinta dengan bakal suaminya itu.

Tambahnya, dia dan keluarga terpaksa menanggung kerugian sehingga 25 juta rupiah (RM7,630) untuk menguruskan persiapan majlis pernikahan tersebut.