Gara-gara bergurau tak kena tempat, Atu Zero berdepan kekesalan terlampau
Penyanyi Nabila Razali menganggap tindakan pelawak Atu Zero yang menyindir vokalnya ketika program The Masked Singer sebagai perkara tidak lawak.
Nabila, 31, meluahkan perasaan terkilannya menerusi Instagram (IG) menyifatkan perkara seperti itu tidak sepatutnya dijadikan bahan lawak
atau ‘punchline’ apabila muncul dalam program televisyen (TV).
“Assalamualaikum, mungkin ‘punchline’ seperti ini kelakar bagi sesetengah orang, tetapi tidak bagi saya.
“Setiap tahun, saya cuba untuk memperbaiki diri, hanya peminat tegar tahu peningkatan saya.
“Kepada semua pelawak, cubalah cari bahan lebih baik untuk membuatkan orang ketawa. Saya tidak nampak perbezaan lawak ini dengan tindakan ‘body shaming’,” tulis Nabila.
Penyanyi lagu Pematah Hati itu berkata, dia tidak marah kepada Atu, sebaliknya hanya sedikit kecewa dengan sikap melulu pelawak itu.
“Saya tidak marah, cuma sedikit kecewa. Mungkin ada orang perlu menjatuhkan orang lain demi membuatkan dirinya menyerlah,” ungkap Nabila.
Nabila memuat naik hantaran berikutan tindakan Atu yang memberi komen kepada salah seorang peserta program The Masked Singer, Si Bulu Tangkis yang menyanyikan lagu Pematah Hati.
“Saya mohon maaf kepada Nabila dengan menghantar mesej langsung dalam IG selepas seorang individu memberitahu luahan hati Nabila yang kecewa dengan saya.
“Bagaimanapun, tiada respon daripada Nabila sehingga saat ini walaupun sudah melihat mesej yang saya hantar,” katanya, seperti dipetik BH Online.
Atu mengakui keterlanjurannya, namun berharap komen itu dapat dijadikan pembakar semangat untuk Nabila memperbaiki mutu nyanyian.
“Kata-kata saya memang salah, tetapi jika dilihat daripada sudut berbeza, anggaplah ia sebagai pembakar semangat agar dapat menyanyi lebih baik dalam persembahan secara langsung.
“Apa yang saya cakap adalah perkara betul dan ia juga pernah tular sebelum ini. Jadi, saya bercakap berdasarkan apa yang saya dengar dan lihat sebelum ini,” katanya.
Namun, Atu berjanji akan lebih berhati-hati apabila membuat ‘punchline’ atau bahan jenaka supaya tidak menyinggung perasaan sesiapa pada masa akan datang.