Gara-gara berlakon dalam drama Kudeta, Maszlee Malik dikecam kerana babak merendahkan wanita
Kemunculan pertama bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sebagai pelakon dalam siri drama Kudeta dikatakan berkesan apabila berjaya menaikkan amarah rakyat Malaysia hanya dengan satu babak.
Bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu memegang watak antagonis di dalam drama tersebut iaitu seorang perdana menteri jahat yang dipenjara.
Maszlee yang melakonkan watak Jamal Banna itu telah mengungkap dialog kasar yang berbaur penghinaan khususnya terhadap wanita.
Menurut satu video rakaman lakonan Maszlee, beliau telah mengeluarkan kata-kata berunsur lucah kepada Mariam Imrana yang dilakonkan oleh Vanidah Imran.
Susulan itu, ramai masyarakat meluahkan rasa tidak senang dengan lakonan Maszlee yang dikatakan melampaui batas dan tidak sesuai dengannya yang pernah memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan itu.
Namun begitu, terdapat beberapa penonton yang berpendapat komentar negatif itu membuktikan bahawa ahli politik tersebut berjaya menjiwai wataknya.
Pendapat tersebut dikongsi oleh seorang penonton yang bekerja di bidang Teknologi Maklumat (IT) dimana katanya, kemarahan orang yang membuak-buak itu mengesahkan keberkesanan lakonannya.
“Cara orang marah dengan lakonan Maszlee membuktikan lakonannya berjaya,” ujarnya di media sosial.
“Lakonan dia mantap gila je. Tapi skrip tu masyaAllah BUGHOK (buruk),” kongsi pengguna lain.
Dalam pada itu, terdapat juga penonton yang berkongsi pandangan bahawa dialog tersebut sengaja dipolitikkan oleh sesetengah pihak memandangkan cerita tersebut sudah lama ditayangkan.
Dalam perkembangan terbaru, bekas Menteri Pendidikan itu telah membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kontroversi skrip tersebut menerusi hantaran pada akaun Facebook rasmi.