Gara-gara bertengkar, abang sanggup libas adik dengan sabit hingga mati

Gara-gara bertengkar, abang sanggup libas adik dengan sabit hingga mati

 

Seorang lelaki maut dilibas menggunakan sabit oleh abang kandungnya sendiri gara-gara pertengkaran mulut di sebuah rumah di Taman Kluang Barat di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, mangsa, Fu Kui Fatt, 42, cuba diselamatkan dengan dikejarkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, di sini, menggunakan ambulans.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia jam 2.30 petang semalam akibat pendarahan yang banyak.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata polis kemudian menahan abang mangsa yang berusia 44 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kejadian dipercayai berpunca pertengkaran sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati suspek.

“Suspek ditahan reman enam hari sehingga Khamis depan dan polis merampas sebilah sabit dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya.