Gara-gara bising, lelaki nekad pecahkan cermin kereta jiran

Gara-gara bising, lelaki nekad pecahkan cermin kereta jiran

 

Emosi yang tidak dapat dikawal boleh mengakibatkan tindakan yang melampau seperti insiden yang tular baru-baru ini apabila terdapat seorang lelaki bertindak memecahkan cermin tingkap jirannya.

Dalam laporan Kosmo!, difahamkan kejadian tersebut berlaku di Taman Puchong Perdana, Selangor dan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian daripada seorang wanita tempatan yang berusia 24 tahun.

Clipboard0 Horz

Pengadu yang sedang berada di dalam rumahnya mendapati jirannya (suspek) telah melakukan khianat sehingga memecahkan cermin kereta jenis Perodua Axia miliknya itu.

“Suspek berusia 36 tahun terbabit ditahan pihak polis beserta sebatang kayu yang digunakan sewaktu kejadian turut dirampas.

Hasil siasatan mendapati punca kejadian ini berlaku disebabkan suspek mengalami tekanan jiwa selepas hilang pekerjaan dan melepaskan geram kerana rumah pengadu selalu membuat bising,” katanya.

Difahamkan, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan telah dituduh di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan pada Jumaat lalu dan didenda sebanyak RM3,300.

Suspek bagaimanapun gagal membayar denda dan kini sedang ditahan di Penjara Kajang bagi menjalankan hukuman penjara selama enam bulan.