Gara-gara Blackpink, PU Syed terima ancaman tembak

Gara-gara Blackpink, PU Syed terima ancaman tembak

Baru-baru ini, pendakwah bebas, PU Syed mendedahkan dia terima ugutan bunuh daripada seseorang di laman Intagramnya kerana membantah penganjuran konsert kumpulan Blackpink pada minggu lalu.

Menerusi laporan Berita Harian, Pu Syed atau nama sebenarnya  Syed Mohd Bakri Syed Ishak tidak akan membuat laporan polis kerana yakin ia hanyalah akaun palsu.

“Ini kali pertama saya berdepan ugutan bunuh, tetapi saya tahu ia adalah akaun palsu. Jadi, saya tidak bercadang membuat laporan polis kerana ia sudah dipadamkan.
“Bagaimanapun, saya sempat menangkap layar ugutan berkenaan,” katanya.

Bukan itu sahaja, dia turut menegaskan tidak gentar dengan ugutan tersebut kerana mahu meneruskan dakwah islam bagi memberikan kesedaran kepada orang ramai terutamanya golongan muslim.

“Daripada gaya tulisan pemilik akaun, saya tahu menggunakan terjemahan enjin pencarian Google. Jadi, saya tidak sikit pun tergugat atau takut, sebaliknya akan tetap memberikan teguran jika perlu,” ujarnya lagi.

Difahamkan, Pu Syed telah menerima mesej di Instagramnya daripada seseorang yang tidak dikenali dengan memberi ugutan untuk menembaknya.

Bahkan, individu yang tidak bertanggungjawab itu turut mendoakan agar keluarga Pu Syed dijangkiti virus selain mengeluarkan kata-kata bencian terhadap islam.