Gara-gara cemburu buta, jururawat maut ditikam suami

Gara-gara cemburu buta, jururawat maut ditikam suami

 

Seorang jururawat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar maut ditikam suaminya dipercayai akibat cemburu dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 6 pagi tadi sewaktu mangsa berusia 31 tahun itu ingin keluar bekerja.

Menurut Ahmad Mohsin, suspek berusia 38 tahun dipercayai bergaduh dengan mangsa di ruang tamu rumah dipercayai akibat cemburu dan mengesyaki isterinya itu telah berlaku curang.

“Polis mengesyaki pergaduhan itu berlaku sewaktu mangsa ingin keluar bekerja kira-kira pukul 6 pagi. Semasa pergaduhan, suspek yang merupakan pesara tentera itu bertindak menikam mangsa dengan sebilah pisau di bahagian dada sebelah kiri,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Mohsin berkata, selepas menikam mangsa, suspek memindahkan isterinya yang tidak sedarkan diri ke dalam bilik tidur utama rumah berkenaan.

Katanya, suspek juga kemudiannya bertindak menghantar dua anak mereka masing-masing berusia lapan dan 10 tahun ke rumah pengasuh sebelum menyerahkan diri di pondok pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis sekitar pukul 10 pagi.

“Susulan itu polis turut melakukan siasatan ke atas rumah berkenaan dan menemui mangsa yang ditutup dengan selimut tebal di dalam bilik tidur utama, malah siasatan turut menemui satu kesan tikaman pada bahagian dada kiri mangsa sepanjang kira-kira dua sentimeter,” katanya.

Susulan itu, Ahmad Mohsin berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah untuk bedah siasat.

Katanya, suspek berkenaan yang positif dadah juga telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan permohonan reman ke atas suspek di Kompleks Mahkamah Kangar esok.