Gara-gara cinta ditolak isteri orang, lelaki tergamak bakar kedai telefon bimbit

Gara-gara cinta ditolak isteri orang, lelaki tergamak bakar kedai telefon bimbit

 

Gara-gara cinta ditolak isteri orang, seorang lelaki berusia 54 tahun dipercayai bertindak membakar sebuah kedai menjual telefon bimbit di Jalan Besar Langkap, dekat sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 46 tahun yang mengadu didatangi suspek di kedai berkenaan iaitu tempat wanita itu bekerja, pada hari sama.

Katanya, lelaki yang juga penganggur itu telah melemparkan kata-kata lucah dan mengamuk sehingga mencederakan wanita berkenaan, selain mengugut mahu membakar kedai berkenaan.

Menurut Ahmad Adnan, semasa wanita itu keluar membuat laporan polis, suspek dikatakan telah menyimbah petrol sebelum membakar kedai terbabit.

“Pasukan bomba telah datang ke tempat kejadian dan berjaya memadamkan kebakaran berkenaan. Anggaran kerugian lebih kurang RM100,000.

“Tindakan pantas pihak polis telah berjaya menahan lelaki itu di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Tambah Ahmad Adnan, semasa tangkapan, lelaki itu turut mengalami kecederaan melecur pada bahagian muka, tangan dan kaki, selain berada dalam keadaan mabuk.

Menurutnya, siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca daripada suspek tidak berpuas hati cintanya ditolak wanita berkenaan.

“Beberapa bulan kebelakangan suspek sering kali datang ke kedai dalam keadaan mabuk dan cuba memikat wanita itu. Namun, wanita itu menolaknya dengan cara baik kerana telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak,” jelasnya.

Katanya suspek dimasukkan ke Hospital Teluk Intan bagi menerima rawatan susulan.

Ahmad Adnan berkata suspek telah direman selama lima hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 435/323 Kanun Keseksaan.