Gara-gara diganggu makhluk ‘halus’, member geng paranormal masuk ICU

Gara-gara diganggu makhluk ‘halus’, member geng paranormal masuk ICU

 

KALAU anda sejenis yang suka menonton video seram oleh pengamal aktiviti paranormal, mesti sudah terbiasa tonton pelbagai aksi mendebarkan, seram lagi menakutkan, bukan?

Ada sesetengah kumpulan penggiat paranormal biasanya akan menghadapi bermacam-macam cabaran, antaranya diganggu dengan bunyi pelik, bisikan halus, kelibat misteri dan seumpamanya.

Tapi tahukah anda, baru-baru terjadi satu kes ‘berat’ yang menimpa salah seorang pengamal paranormal, apabila dia dikatakan diganggu sejenis ‘entiti’ sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital?

Begitulah seperti yang diceritakan oleh seorang individu yang mendakwa rakannya yang juga pengamal paranormal kini sedang ditempatkan di unit rawatan rapi susulan aktiviti itu.

Lelaki yang menggunakan nama profil TikTok Maachaa2 berkongsi mengenai kejadian ‘misteri’ yang terjadi kepada kawannya sendiri sehingga dia tekad untuk menyampaikan nasihat kepada umum.

Difahamkan, segalanya bermula apabila kawannya yang selama ini digelar ‘fighter’ paranormal menjalankan satu aktiviti paranormal di satu lokasi yang tidak dinyatakan.

“Tapi baru ni dapat panggilan, dia sekarang ada dekat ICU (unit rawatan rapi) hospital.

“Aku tak tahu mana punya hutan dia masuk, mana rumah lama (dia masuk). Jadi keluarga dia call lah bagitahu dia kat ICU. Tengah…’teknikal’ (tenat) jugaklah keadaan dia,” katanya dalam nada sedih.

Katanya lagi, walaupun berasa ‘kebal’ dan sudah membaca ‘pendinding’, namun gangguan yang mendatang tidak mengenal siapa.

Hal tersebut kerana kawannya itu diganggu sejenis makhluk ‘halus’ yang dianggap sangat berbahaya hingga dirinya terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.

“Bukan nak cakap apa..kau kebal macam mana pun, kau tekan ayat pun…’khadam’ yang hadir pun..ha tu denggi tu ha,” katanya.

Diganggu makhluk ‘halus’ berbahaya sampai masuk ICU

Rupa-rupanya kawannya itu ‘sakit’ bukan disebabkan terkena sampuk oleh entiti misteri, pocong ataupun pontianak, tetapi makhluk serangga halus iaitu nyamuk aedes!

“Orang dah cakap jangan pergi rumah-rumah lama, pergi hutan, kau tekan ayat macam mana pun, kau suruh ‘dia’ hadir kan.

“Hah itu bapak segala nyamuk hadir, dah tak pasal-pasal kena denggi. Tu ha kat hospital tu ha, dah nak kena hantar bubur pula untuk dia,” tambahnya lagi sambil berseloroh.

Rentetan itu, Maachaa2 menasihatkan agar semua pengamal aktiviti paranormal perlu menjaga keselamatan diri lebih-lebih lagi apabila bertandang ke tempat berkenaan.

“Jadi yang (buat) paranormal tu hati-hatilah dengan nyamuk. Sekarang musim hujan air bertakung banyak.

“Jadi, baik-baiklah. Kebal kebal juga, berani berani juga. ‘Dia’ baru hantar nyamuk tu, dah  hospital dah duduk,” tambahnya lagi diselangi gelak.

@maachaa2

hati hati kawan2 ku 🥹

♬ original sound – MAACHACOKE🍺 – MAACHACOKE🍺