Gara-gara kantoi video call lelaki lain, isteri jadi tawar hati & minta cerai, tapi suami pulak taknak lepaskan, akui diri sendiri pun banyak buat silap sebab baran dan kaki pukul

Gara-gara kantoi video call lelaki lain, isteri jadi tawar hati & minta cerai, tapi suami pulak taknak lepaskan, akui diri sendiri pun banyak buat silap sebab baran dan kaki pukul

 

SETIAP rumah tangga yang terbina mempunyai ujian dan dugaan yang berbeza.

Lebih mencabar lagi apabila terpaksa berjauhan dengan pasangan atau anak kerana kerjaya atau sebab lain yang mana hubungan ini dikenali sebagai PJJ (pasangan jarak jauh).

Begitulah juga dengan lelaki ini yang terpaksa berjauhan dengan isteri kerana sudah empat tahun mencari rezeki dalam sektor awam di Kuala Lumpur.

Sebagaimana diceritakan dalam grup Kisah Rumah Tangga, dia berasa buntu apabila pergolakan dalam rumah tangganya semakin parah, apatah lagi mereka sudah mempunyai seorang anak berusia dua tahun.

“Setiap kali bergaduh, isteri akan ungkit kesilapan saya yang lepas dan kerap minta cerai. Saya mengaku sepanjang kami PJJ, saya kurang beri perhatian kepada isteri dan pernah naik tangan beberapa kali.

“Saya mengaku silap saya sebab panas baran apabila isteri melenting. Tapi baru ni isteri saya kantoi buat panggilan video dengan lelaki lain (kawan sepejabat). Lelaki tersebut tak berbaju dan isteri saya tidak bertudung semasa mereka berbual.

“Saya agak terkilan dan terkejut isteri yang saya sayang ada orang lain. Sebelum kejadian, kami bertengkar mulut kerana saya dapat rasakan isteri ada sembunyikan sesuatu, setiap kali tidur sorok telefon, tukar ‘password’ dan sebagainya,” ujarnya.

Menurut pengadu yang tidak mendedahkan identiti itu, dia berusaha untuk menyelamatkan rumah tangganya dengan berjumpa lelaki dalam panggilan video itu yang didakwa begitu akrab dengan isterinya.

Bagaimanapun, masalah tersebut tidak dapat diselesaikan, malah isterinya mahu menuntut cerai dan hak penjagaan anak.

“Bila saya ajak berbincang isteri selalu melenting tak bagi saya tanya apa-apa pasal diri dia kalau ada masalah. Selepas kejadian panggilan video tu saya panggil lelaki tu datang ke rumah untuk jelaskan apa yang terjadi.

“Lelaki tu bagi alasan isteri saya ni selalu meluahkan perasaan dan masalah apabila kami bergaduh dan dia menganggap hubungan mereka macam adik dan abang. Isteri ugut saya kalau bercerai dia akan ambil anak daripada saya.

“Saya dah cuba ubah perangai dan bagi isteri tempoh bertenang. Saya dan anak pulang ke kampung untuk beri isteri ruang waktu. Tapi bila pulang ke Kuala Lumpur semula untuk ambil barang anak saya terkejut isteri saya buat panggilan video dengan lelaki tersebut bermesra-mesraan,” jelasnya.

Dalam hantaran sama, lelaki ini mengakui kesilapan lampaunya menjadi salah satu punca terhadap kemelut dalam rumah tangganya masa kini.

Bagaimanapun, dia berharap agar hubungan dengan isteri masih boleh diselamatkan kerana tidak sanggup berpisah dengan anaknya jika wanita itu memfailkan penceraian.

Selepas hantaran tersebut dikongsikan di Facebook, ramai dalam kalangan netizen memberikan pandangan masing-masing untuk menyelamatkan hubungan pasangan ini.

“Jangan putus asa, Kuatkan semangat dan lebihkan berdoa agar hubungan kembali seperti sebelumnya. Apa-apa pun selamatkan keluarga daripada bercerai-berai sebab impaknya cukup besar.

“Mungkin ini yang dikatakan bila isteri sudah patah hati, banyak peluang diberi tapi masih tak berubah. Macam mana sekali pun kamu berubah, isteri sudah tak pandang ke belakang lagi.

“Buatlah keputusan terbaik demi masa depan. Kita juga berhak untuk hidup bahagia. Selepas ni jangan ulangi kesilapan lepas. Setiap kejadian pasti ada hikmahnya,” ujar beberapa netizen di ruangan komen.