Gara-gara ketiadaan isu untuk dimainkan, MP Pas akhirnya kitar semula isu azan di Pulau Pinang

Gara-gara ketiadaan isu untuk dimainkan, MP Pas akhirnya kitar semula isu azan di Pulau Pinang

Seorang Pemimpin PKR membidas Ahli Parlimen Maran, Ismail Abd Muttalib, yang membangkitkan isu kononnya ada negeri mengarahkan laungan azan diperlahankan.

Menyedari isu itu dihalakan kepada Pulau Pinang, anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Fahmi Zainol, menegaskan di negeri itu azan bukan saja berkumandang seperti biasa, bahkan dilaungkan dua kali pada setiap subuh.

“Cubaan fitnah oleh Ahli Parlimen Maran (Geng Perikatan Nasional). Ampa (Kalian) dok Pulau Pinang azan kuat ka (ke) slow (perlahan)? Cuba komen,” ciap bekas ketua Pemuda PKR Pulau Pinang itu di Twitter hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Ismail mengemukakan soalan di Dewan Rakyat mengenai mengapa ada “sebuah kerajaan negeri” mengeluarkan arahan kepada semua masjid untuk memperlahankan pembesar suara azan.

“Apakah punca sebenar menyebabkan sebuah kerajaan negeri di negara ini mengeluarkan perintah larangan kepada semua masjid di negeri-negeri berkenaan supaya memperlahankan setiap kali azan apabila solat lima waktu?” soalnya.

Menjawab pertanyaan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata tidak ada perintah sedemikian di mana-mana negeri seperti didakwa Ismail.

Untuk rekod walaupun Ismail tidak menyebut negeri yang dimaksudkannya dalam soalan tersebut, Pulau Pinang pernah dituduh mengeluarkan arahan agar suara azan dilarang atau diperlahankan.

Dakwaan palsu mengenainya tersebar sejak sekurang-kurangnya 2011.

Seorang pemimpin PAS di peringkat pertengahan, Shaharuddin Ibrahim, adalah antara individu yang membuat kenyataan tersebut.

Dia sudah meminta maaf kepada kerajaan Pulau Pinang dan DAP kerana mengeluarkan dakwaan tersebut pada 2016.

Sebelum itu, Shaharuddin didakwa memberikan tazkirah dan mengeluarkan kenyataan: “Kalau DAP menguasai negara… nuu Pulau Pinang tuan-tuan, bang (azan) dah tak boleh dah, bang (azan) tak boleh dah tuan-tuan.”

Dia membuat permohonan maaf atas alasan “tidak mahu berbalah” atau “memanjangkan isu” tersebut dengan kerajaan Pulau Pinang.

Fahmi berkata, untuk mendapatkan maklumat yang lanjut Ismail wajar bertanya kepada wakil rakyat PAS di Pulau Pinang.

“Patutnya ang (kamu, merujuk kepada Ismail) tanya Yusni Mat Piah (Adun Penaga).

“Negeri kami siap azan subuh dua kali tau dak (tahu tak)?,” katanya merujuk kepada wakil rakyat tunggal PAS di negeri itu.

Mufti Pulau Pinang nafi ada larangan

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor menafikan tuduhan Pulau Pinang melarang penggunaan pembesar suara bagi melaungkan azan.

Kata Wan Salim, pihak pengurusan masjid hanya diminta menggunakan pembesar suara di dalam masjid bagi aktiviti-aktiviti lain seperti ceramah, tazkirah ataupun bacaan al-Quran.

“Tak betul (larangan), di Pulau Pinang boleh azan dan iqamah dengan menggunakan pembesar suara luar masjid atau surau.

“Bagi aktiviti-aktiviti lain seperti ceramah, tazkirah, bacaan al-Quran dan seumpamanya hanya dibenarkan mengguna pembesar suara dalam.

“Bagaimana pun larangan menggunakan pembesar suara luar masjid dan surau ini tidak diwartakan, diserahkan kepada budi bicara jawatankuasa kariah,” katanya kepada Malaysiakini.