Gara-gara kongsi menu ikan sardin, Dr Rafidah dikecam netizen

Gara-gara kongsi menu ikan sardin, Dr Rafidah dikecam netizen

 

Nama Dr Rafidah Abdullah sekali lagi mencuri perhatian  netizen apabila dia kali ini membuat perkongsian tentang menu ikan sardin.

Menerusi ciapan di Twitter miliknya hari ini, pakar perubatan itu memberitahu, dia tidak mengamalkan makan sardin di dalam tin kerana kandungan preservatif dan garam yang tinggi.

“Ramai yang tanya saya pasal sardin. Saya tidak makan sardin dalam tin, apatah lagi menggorengnya. Makanan dalam tin banyak preservatif dan garam.

“Biasa saya makan ikan fresh sahaja, grilled. Betul tanggapan ramai,” ujarnya kepada lebih 120,000 pengikutnya di Twitter.

Menerusi ruangan balas, Rafidah bagaimanapun berkata, terdapat produk sardin di dalam tin yang bagus seperti yang biasa dibelinya di United Kingdom (UK).

Canned sardines ada yang okay. Yang biasa saya beli di UK okay. Yang penting, baca kotak ingredient di tepi. Yang biasa kita dapat di Malaysia, saya tidak suka.

“Cuba check kandungan ingredients tepi can. Boleh buat keputusan sendiri. Kebanyakannya tidak sihat. Untuk pesakit dialisis, absolute no yang dalam tin. Banyak fosfat,” ujarnya lagi.

Dr Rafidah menambah, harga sardin juga agak tinggi dan dia menasihatkan orang ramai agar mengambilnya dalam kuantiti sedikit.

Katanya lagi, ciapan itu bukanlah satu teguran sebaliknya sekadar menjawab pertanyaan orang ramai.

“Saya tidak menegur sesiapa. Ramai yang bertanya, saya hanya menjawab,” ciapnya lagi.

Sementara itu, netizen turut meninggalkan pelbagai komen pada hantaran itu termasuklah yang kurang bersetuju dengan pandangan Dr Rafidah.

Malah ada netizen turut mengaitkan ciapan Dr Rafidah dengan video terbaharu Khairulaming yang memaparkan menu masakan roti puri cicah sardin tumis yang dikongsi semalam.

Awal minggu ini, Dr Rafidah memohon maaf kepada pempengaruh media sosial, Khairul Aming atas kenyataan yang telah disalah tafsir mengenai isu tidak mengutamakan kesihatan dalam masakan.

Dia menasihati Khairul Aming untuk mengurangkan penggunaan minyak dalam masakan dan memperbanyakkan resipi masakan yang sihat.

Dr Rafidah gusar penggunaan minyak masak yang banyak mampu mempengahruhi kesihatan masyarakat Malaysia yang rata-rata mengikuti perkembangan Khairul Aming menerusi video masakan 30 hari, 30 resipi bersempena bulan Ramadan.

Dia menambah, kebanyakan pesakit yang beliau rawati mempunyai masalah kesihatan kronik hasil dari amalan pemakanan yang tidak sihat.