Gara-gara mangsa banjir enggan keluar mengundi, Pas bakal berdepan kehilangan banyak kerusi tradisi

Gara-gara mangsa banjir enggan keluar mengundi, Pas bakal berdepan kehilangan banyak kerusi tradisi

Pengundi yang terdiri daripada mangsa banjir di sini menyuarakan hasrat untuk tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malah mereka yang terdiri daripada 50 keluarga itu juga tidak membenarkan sebarang bendera parti dikibarkan di Kampung Tersang di sini.

Wakil penduduk yang ingin dikenali sebagai Ngah berkata, tindakan itu diambil susulan masalah yang dihadapi mereka sehingga kini tidak selesai, malah lebih teruk.

“Ia, kami sudah biasa dengan banjir tetapi tidak seteruk sekarang. Sehinggakan dalam setahun hampir lima bulan kampung kami digenangi air.

“Malah arus air yang deras turut menghanyut dan merosakkan rumah penduduk di sini,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Dia memberitahu, pembinaan projek tebatan banjir di Sungai Lanchang sepatutnya menjadi ‘penyelamat’ kepada mereka tetapi sebaliknya berlaku.

Penduduk di Kampung Tersang, Rantau Panjang juga tidak membenarkan sebarang bendera parti dikibarkan di kawasan mereka.

Penduduk di Kampung Tersang, Rantau Panjang juga tidak membenarkan sebarang bendera parti dikibarkan di kawasan mereka.

Katanya, lebih mengecewakan lagi tiada pihak yang mengambil berat dan mahu menyelesaikan masalah tersebut yang sudah berlarutan sejak setahun lalu.

Sementara itu, Yah berkata, kesedihannya tidak dapat diselindung apabila tiada sebarang usaha untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi mereka itu diambil.

“Kami mahukan penyelesaian dan bukan alasan semata-mata.

“Ketika ini kami buntu untuk memilih pemimpin pada PRU15 nanti kerana rata-rata calon yang bertanding tidak serius untuk menyelesaikan masalah tersebut,” jelasnya.

Pada PRU15, Parlimen Rantau Panjang menyaksikan pertandingan lima penjuru antara Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN), Zulkarnain Yusoff (BN), Datuk Dr Ibrahim Ali (Putra), Datuk Mohd Zain Ismail (PRM) dan Dr Wan Shah Jihan Wan Din (PH)

PRU14 lalu menyaksikan Siti Zailah mewakili Pas memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 6,150 undi.