Gara-gara memfitnah dalam ceramah Pas, Vincent Tan tuntut Sanusi mohon maaf, bayar RM200 juta

Gara-gara memfitnah dalam ceramah Pas, Vincent Tan tuntut Sanusi mohon maaf, bayar RM200 juta

 

Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan Berjaya Land Berhad (Berjaya Land) menuntut permohonan maaf secara terbuka dan pampasan ganti rugi RM200 juta daripada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Ia susulan dakwaan Menteri Besar Kedah itu membuat kenyataan berunsur fitnah dan tidak benar mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Muhammad Sanusi dikatakan menyampaikan ucapan berbaur politik, fitnah, palsu, tidak berasas dan tanpa bukti bertujuan menggugat Vincent Tan dan Berjaya Land secara langsung atau tidak langsung.

Ia berkaitan projek terbabit ketika ‘Jelajah Mega PN (Perikatan Nasional) Best’ dan ‘PN Best Sayangi Kedah Sejahtera Mega Tour’, 2 Ogos lalu.

Berjaya Land dalam kenyataan hari ini berkata, satu surat tuntutan melalui firma guaman mewakili Vincent Tan dan pihaknya dikemukakan kepada Muhammad Sanusi pada kelmarin, yang menggariskan lima tuntutan.

Yang pertama, tanpa syarat menarik balik semua kenyataan defamasi dalam ucapan Menteri Besar Kedah yang merujuk kepada Vincent Tan dan Berjaya Land.

Kedua, mengemukakan permohonan maaf secara terbuka tanpa syarat berhubung ucapan itu mengikut terma pihak guaman untuk diterbitkan dengan serta-merta oleh Muhammad Sanusi di platform ditentukan pihak sama.

“Ketiga, menyediakan jaminan bertulis bahawa Muhammad Sanusi tidak akan mengulangi penerbitan dan ucapan mengenai kenyataan dalam ucapan berkenaan Vincent Tan dan Berjaya Land.

“Keempat, menyediakan jaminan bertulis bahawa Muhammad Sanusi dengan segera menghentikan dan tidak akan melanjutkan penerbitan, ucapan, penulisan, perkongsian, pengedaran semula, penyiaran semula atau perkongsian semula dengan apa cara sekalipun mengenai kenyataan dan perkataan dalam ucapan itu.

“Kelima, bersetuju membayar pampasan RM200 juta kepada Vincent Tan dan Berjaya Land. Jika Muhammad Sanusi gagal mematuhi tuntutan terbabit menjelang 8 Ogos 2023 (esok), tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.

Menurut Berjaya Land, Vincent Tan dan Berjaya Land juga membuat beberapa laporan polis terhadap Muhammad Sanusi, selain beberapa blogger seperti Murray Hunter, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard dan Raja Petra Kamarudin atas penerbitan kenyataan defamasi terhadap projek SMG.

Projek itu mungkin dilihat sebagai kesalahan fitnah mengikut Seksyen 499 Kanun Keseksaan yang apabila disabitkan boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Vincent Tan turut dipetik dalam kenyataan itu dengan berkata kenyataan defamasi itu mencemarkan integriti, reputasi dan imejnya serta Berjaya Land.

“Tuduhan dilemparkan menimbulkan keraguan dan mencetuskan syak wasangka tanpa sebab mengenai usaha perniagaan serta inisiatif kedermawanan yang sah.

“Kami ingin menyampaikan mesej jelas bahawa sesiapa yang membuat sebarang kenyataan berbaur palsu dan mencemarkan imej tidak akan dipandang endah serta kami ingin pihak terbabit bertanggungjawab atas tindakan mereka,” katanya.