Gara-gara nak beli mainan, kanak-kanak 6 tahun sanggup pandu sendiri kereta hingga kemalangan

Gara-gara nak beli mainan, kanak-kanak 6 tahun sanggup pandu sendiri kereta hingga kemalangan

 

Kanak-kanak berusia enam tahun dikesan memandu Toyota Vios milik keluarganya sehingga terbabit kemalangan di Jalan Bukit Tangga di sini, malam tadi.

Kanak-kanak terbabit dikatakan memandu sejauh 2.5 kilometer (km) dari rumahnya bersama adiknya yang berusia tiga tahun untuk ke kedai bagi membeli mainan.

Video kemalangan terbabit tular tengah malam tadi dengan orang ramai terkejut apabila mengetahui kenderaan terbabit dipandu kanak-kanak berkenaan tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari mengesahkan kejadian dalam video tular itu berlaku di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, berhampiran Kampung Titi Chanwang, jam 11.15 malam.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, kereta terbabit dilaporkan dipandu seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, manakala adiknya juga kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun menjadi penumpang.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dari arah Kampung Ulu Melaka menghala ke Kampung Nyiur Chabang, terbabas dan melanggar tiang lampu berhampiran Kampung Titi Chanwang.

“Susulan itu, pemandu kereta luka di dahi, manakala penumpang tidak cedera,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shariman berkata, kereta terbabit dipercayai dipandu kanak-kanak terbabit dari kediaman mereka di Kampung Padang Mengkuang, Mukim Ulu Melaka, sejauh 2.5 km tanpa pengetahuan ibu bapa.

“Kes disiasat bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.