Gara-gara OMI, isteri jadi gila bayang dengan suami orang lepas 2 kali jumpa

Gara-gara OMI, isteri jadi gila bayang dengan suami orang lepas 2 kali jumpa

 

Seorang wanita yang memegang status ‘isteri orang’ mula menyesali tindakannya memuat naik satu aplikasi di atas talian meskipun telah mendapat keizinan dari suaminya.

Mana tidaknya, aplikasi berkenaan digunakan oleh wanita dikenali sebagai Yaya itu untuk berkomunikasi dengan lelaki lain secara berlebihan sehingga timbul rasa ‘cinta’.

Tampil membuat perkongsian di sebuah forum atas talian untuk meminta nasihat, berikut luahan sang isteri yang tangkap cintan dan ‘gila bayang’ dengan suami orang.

“Aku cuma mahu kongsi pengalaman bodoh dengan pembaca. Aku isteri orang yang berusia 28 tahun, memiliki seorang anak. Pada mulanya, aku muat naik aplikasi OMI selepas mendapat kebenaran daripada suami. Satu hari, aku nampak ada beberapa orang nak cuba berkenalan. Untuk rekod, aku memang tulis status isteri orang dekat situ.

“Tak lama selepas itu, adalah seorang lelaki hantar pesanan kepada aku. Mula-mula macam malas nak layan. Tetapi sebabkan dia selalu hantar, aku pun membalas juga. Lelaki itu bertugas sebagai anggota badan beruniform. Dia sebenarnya mempunyai isteri, tetapi mereka melakukan perhubungan jarak jauh (PJJ).

“Awalnya tak pernah terfikir akan bertindak berlebihan dengan lelaki itu. Sebabnya, dia sudah tua bagi aku. Umurnya dalam awal 40-an. Tetapi disebabkan ayat manis dia itu, membuatkan aku sentiasa membalas pesanan darinya. Jadi dia pun mulalah meminta nombor telefon bimbit dan kami berhubungan melalui aplikasi Whatsapp.

“Aku gelarkan lelaki itu A sahajalah. Suatu hari, dia ajak berjumpa dan suami sendiri tahu mengenai perkara ini. Suami akulah yang hantarkan tetapi dia tengok daripada jauh sahaja. Lelaki itu memang sumpah ‘sweet’ nak mampus. Tetapi aku tak pernah tanya langsung mengenai keluarga dia, isteri atau perkara bersifat peribadi.

“Sebabnya, aku juga tak nak ‘tersangkut’ pula nanti. A sememangnya sama seperti lelaki lain. Suka mengambil kesempatan di atas peluang yang ada depan mata. Balik daripada pertemuan itu, aku adalah rasa menyesal dan tergerak hati tak nak jumpa lagi selepas itu. Dalam beberapa hari juga aku tak balas pesanan Whatsapp dia.

“Tetapi A tetap hantar pesanan untuk meminta maaf dan sebagainya. Sampailah aku balas. Mulanya, suami aku baca juga semua pesanan dia. Tetapi tak lama kemudian, A beritahu dia mula sayangkan aku. Siap sanggup bersumpah. Perempuan mana tak cair. Ya, Aku bodoh. Aku juga pandai jumpa dia sorok-sorok sebab suami melarang.

“Tetapi sekali sahajalah aku jumpa lelaki itu. Dia bawa aku jalan jauh sedikit buat kali ini. Dia memang ‘sweet’. Sebab sebelum pertemuan kali ini, hari-hari aku sudah gila bayang. Aku teringat perjumpaan kami yang pertama dahulu. Aku rindu, tak keruan dan jadi angau. Selepas balik, aku ada hantar pesanan. Dia baca sahaja.

“Ingatkan A sudah balik ke rumah isteri dia, jadi aku pun tak kacaulah. Beberapa hari jugalah dia diam. Akhirnya aku hantar pesanan sekali lagi untuk bertanyakan khabar. Aku juga sampaikan rindu ini padanya. Dia hanya membalas ringkas iaitu ‘sibuk’. Aku dapat rasakan macam ada sesuatu yang tak kena. Rupanya dia serba salah.

“Kata A dia mula rasa serba salah terhadap isteri dan anaknya. Padahal akulah yang tak nak layan dia dahulu. Tetapi disebabkan pujuk rayu, aku jadi bodoh. Akhirnya aku pula yang diperbodohkan. Aku masih rindukan dia. Sudah gila bayang! Terkena guna guna ke? Aku isteri orang! Sekarang tengah usaha lupakan dia. Tolong ceramah aku,” katanya.