Gara-gara penangan viral, kek yang dijual wanita ini laku keras walaupun hanya berniaga di halaman rumah di Kampong Manjoi

Gara-gara penangan viral, kek yang dijual wanita ini laku keras walaupun hanya berniaga di halaman rumah di Kampong Manjoi

 

BENARLAH kata ungkapan lama, rezeki takkan salah alamat!

Begitulah juga dengan kisah wanita ini yang mencabar diri berniaga aneka kek di halaman rumah ibunya yang terletak di Kampung Manjoi, Ipoh, Perak.

Mengakui pada mulanya timbul perasaan takut dan bimbang dengan penerimaan orang lebih-lebih lagi hanya membuka gerai di kawasan kampung, namun siapa sangka, rezeki ternyata berpihak kepadanya.

Kini selepas hampir tujuh bulan beroperasi, gerai ‘Asha Cakes’ yang diusahakan Norshahila Martuki bukan hanya dikenali penduduk setempat malah menjadi sebutan pelanggan dari luar Perak gara-gara penangan kuasa viral.

Untuk rekod, mStar sebelum ini juga pernah membuat liputan mengenai kisah Norshahila selepas video gerai kek yang dikongsikan di TikTok meraih perhatian ramai.

kek baru 1

Pelanggan yang terdiri daripada penduduk tempatan dan orang dari luar Perak.

Berkongsi cerita mengenai perkembangan terkini bisnesnya, wanita berusia 33 tahun ini berkata sungguhpun masih beroperasi di halaman rumah ibunya, namun dia tidak menang tangan apabila perlu menyiapkan kek untuk dua buah kafe, selain untuk dijual di gerainya sendiri.

“Syukur Alhamdulillah saya masih beroperasi di hadapan rumah. Selepas viral, ada rezeki saya walaupun kadang slow sebab cuaca tu perkara biasa. Ada juga pelanggan dari luar datang ke Manjoi cari kek saya.

“Saya juga bekalkan kek kepada dua buah kafe iaitu Kopi Saigon di Meru untuk setiap dua minggu, dan Kafe Paknill Grill & Western di Cameron Highland bagi setiap kali cuti sekolah dan cuti perayaan.

Kenangan yang paling tak boleh lupa, semua hasil jualan habis dalam dua jam serta dapat pegang dalam tangan untuk empat angka.

NORSHAHILA MARTUKI

“Dek kerana mendapat sambutan ramai, saya juga menjual kek potong serendah RM1.80 sepotong bagi mereka yang kurang berkemampuan… biar sama-sama merasa dengan harga bajet,” kongsi Norshahila yang mempunyai pengalaman sembilan tahun sebagai ‘home baker’.

Selain aneka kek dan pencuci mulut, menu air tangan ibunya iaitu laksa dan mi rebus turut dijual di gerainya.

Seiring dengan pertambahan pelanggan di gerai dan dalam masa yang sama menerima tempahan kek ‘custom made’, Norshahila kini mempunyai tiga orang pembantu yang terdiri daripada ibu, adik dan sepupunya.

Seperti mana peniaga-peniaga kecil yang lain, bisnes kek Norshahila juga tidak terkecuali dilanda ujian lebih-lebih lagi selepas semakin menjadi buah mulut ramai.

kek baru 2

Norshahila turut menerima tempahan kek ‘custom made’.

“Ada juga komen netizen yang berbaur kecaman, antaranya nanti pihak majlis perbandaran datang saman dan sebagainya.

“Tapi Alhamdulillah selama hampir tujuh bulan berniaga, semuanya dipermudahkan… jiran-jiran semua support malah polis, nurse, doktor, cikgu, staf kerajaan pun antara pelanggan tetap.

“Dugaan lain, gerai dipukul ribut… habis khemah barang-barang perkakas pecah dan rosak hingga terpaksa stop dua minggu berniaga kerana tak cukup modal.

“Dalam pahit, tetap ada manisnya. Kenangan yang paling tak boleh lupa, semua hasil jualan habis dalam dua jam serta dapat pegang dalam tangan untuk empat angka.

“Serius penat… hari-hari buat kek dan pencuci mulut pelbagai jenis seorang diri tapi inilah bidang saya,” ujarnya.

kek bajet 1

Kek bajet berharga RM1.80 sepotong turut dijual di gerainya.

Berkongsi perancangan dalam masa terdekat, Norshahila berkata dia akan membuka gerai sepanjang bulan puasa di lokasi lain iaitu tepi jalan besar berdekatan Pasar Borong Manjoi.

“Untuk perancangan jangka panjang pula, saya berdoa agar bisnes ini maju dan terus bangun dalam kegawatan ekonomi.

“Dan saya harap sangat jika satu hari nanti dapat buka satu kedai cantik macam kafe. Itu impian saya sejak dulu.

“Jika ada pihak sudi beri bantuan, saya amat alu-alukan untuk buatkan satu kedai comel di depan rumah,” akhirinya.