Gara-gara penumpang tercirit dalam pesawat, juruterbang terpaksa buat pendaratan cemas

Gara-gara penumpang tercirit dalam pesawat, juruterbang terpaksa buat pendaratan cemas

 

Sebuah pesawat Delta Airlines yang dalam perjalanan dari Atlanta ke Barcelona dilaporkan terpaksa berpatah balik dan melakukan pendaratan kecemasan selepas penumpangnya alami cirit birit, lapor Mothership.

Kejadian itu dilaporkan berlaku selepas dua jam pesawat tersebut berlepas dari Georgia ke Sepanyol pada 1 September lalu.

Menara kawalan trafik udara difahamkan telah menerima mesej daripada juruterbang yang memaklumkan mereka berdepan dengan kejadian kecemasan.

“Kami mempunyai penumpang yang mengalami cirit-birit sepanjang perjalanan,” beritahu juruterbang dalam rakaman audio melalui LiveATC.net.

Kejadian itu telah disahkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Persekutuan seperti yang disiarkan di Reddit.

“Penumpang cirit-birit di merata tempat dalam pesawat,” tulisnya.

Penumpang yang berada dalam penerbangan sama menggambarkan bahawa kejadian itu sangat di luar jangkaan.

Najis penumpang itu dikatakan turut berada di sepanjang lorong pesawat.

Selepas berpatah balik, penumpang dan anak kapal dipindahkan ke pesawat lain dan tiba ke destinasi mereka pada 5.10 petang keesokan harinya.

Susulan daripada itu, ketibaan penerbangan tersebut telah mengalami kelewatan selama lapan jam.

Bagaimanapun, penumpang yang mengalami cirit-birit itu tidak diketahui sama ada turut menaiki penerbangan yang baharu tersebut.

Seorang pengguna TikTok yang mendakwa berada di dalam pesawat yang sama telah berkongsikan video yang menunjukkan pesawat dipenuhi tuala penyerap. Tuala itu dilihat memenuhi lorong laluan pesawat tersebut.

Pengguna TikTok itu juga menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang traumatik.

Pegawai Delta mengesahkan bahawa pesawat itu telah mengalami ‘isu kesihatan’ dan terpaksa berpatah balik untuk dibersihkan, lapor Insider.

“Pasukan kami bekerja sepantas dan selamat yang mungkin untuk membersihkan kapal terbang dengan teliti. Agar pelanggan kami dapat tiba ke destinasi terakhir mereka.

“Kami mohon maaf kepada pelanggan kami atas kelewatan dan kesulitan untuk rancangan perjalanan mereka,” kata jurucakap Delta.

Rekod penerbangan menunjukkan bahawa pesawat itu kemudiannya telah digunakan untuk jadual penerbangan yang berlainan.