Gara-gara tampal jalan sendiri, sukarelawan diburu pihak berkuasa

Gara-gara tampal jalan sendiri, sukarelawan diburu pihak berkuasa

 

Gara-gara menurap jalan sendiri, pihak berkuasa lebuh raya di Britain sedang memburu individu atau kumpulan yang menuang konkrit ke dalam lubang besar di laluan Lostwithiel, Cornwall yang ditutup sejak April lalu.

Lapor Daily Mail, tindakan sukarelawan menampal jalan itu dilakukan tanpa persetujuan dengan pihak berkuasa.

Ahli majlis Cornwall, Colin Martin berkata jalan tersebut telah ditutup semula dan akan kekal ditutup sehingga ia dibaiki dengan betul oleh pihak berwajib Cormac.

“Walau bagaimanapun, perkara ini dijangka akan dilakukan beberapa minggu lagi kerana pasukan yang ditugaskan telah menampal lubang-lubang kecil di jalan raya yang lain,” katanya.

Difahamkan, sejak dua tahun lalu, konservatif yang memegang Majlis Cornwall telah mengurangkan belanjawan untuk penurapan semula jalan dan penyelenggaraan proaktif.

Akibat daripada keputusan tersebut, kini jalan berlubang kerap muncul di seluruh Cornwall, lebih cepat berbanding kerja membaik pulih, memetik Mirror UK.

Jelas Martin, pihaknya hanya melakukan kerja membaik pulih pada hari bekerja.

Mereka tidak dibenarkan untuk melakukan kerja itu pada hari minggu.

“Sebarang kerja yang dijalankan pada hujung minggu tidak akan dilakukan oleh pasukan kami di Lebuhraya Cornwall.

“Oleh itu, kami menganggap bahawa kerja-kerja yang dijalankan dan kerja pengalihan tanda penutupan jalan dilakukan orang lain.

“Termasuk yang berkaitan infrastruktur ia telah dilakukan oleh orang yang tidak dikenali tanpa persetujuan,” kata pengurus Lebuhraya Cornwall.

Tambahnya, jika orang ramai mempunyai maklumat mengenai individu tersebut boleh dikongsikan kepada pihak Lebuhraya Cornwall.

“Sekiranya maklumat mengenai individu atau kumpulan yang menjalankan kerja-kerja itu diketahui oleh masyarakat, saya akan berterima kasih jika butiran itu dikongsi bersama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pihak berkuasa turut meletakkan dan menambah papan tanda jalan ke kawasan tersebut.

“Pada masa ini, kami mempunyai banyak kerosakan jalan berlubang di seluruh rangkaian dan kawasan.

“Sumber yang diperuntukkan akan digunakan untuk membaiki kawasan tersebut berbanding kerja-kerja lain yang dirancang,” jelasnya.

Menurutnya, jalan tersebut akan ditutup sehingga 9 Jun depan untuk kerja membaik pulih.