Gara-gara tebus point e-wallet, wang simpanan RM21,399 lesap kena scam

Gara-gara tebus point e-wallet, wang simpanan RM21,399 lesap kena scam

Gara-gara mahu menebus point e-dompet bernilai 750, suri rumah berputih mata selepas ditipu sehingga wang simpanannya berjumlah RM21,399 lesap.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kejadian bermula 29 Disember lalu apabila mangsa dari Raub berusia 36 tahun menerima panggilan daripada suspek yang menyamar sebagai wakil syarikat Touch ‘n Go.

“Suspek memaklumkan akaun e-wallet milik mangsa tamat tempoh dan terdapat 750 point (mata) yang masih belum dituntut.

“Mangsa kemudian menyerahkan nombor kad (ATM) bank serta nombor pengesahan transaksi (TAC) selepas suspek meminta kononnya mahu membantunya menebus mata berkenaan.

“Tanpa mengesyaki mangsa menyerahkan tujuh nombor TAC yang berlainan kepada suspek sebelum menyedari dirinya ditipu apabila mendapati semua wang dalam akaun banknya lesap,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, berikutan itu orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi berkaitan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

“Sekiranya diminta untuk memberikan apa-apa maklumat perbankan, jangan dedahkannya,” katanya.